[12]
Apabila neraka itu
melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka suara marahnya yang
menggelegak dan mengeluh.
[13]
Dan apabila mereka
dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam neraka itu, dengan keadaan mereka
dibelenggu, menjeritlah mereka di
[14]
(Lalu dikatakan
kepada mereka): "Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada hari ini
sejenis kebinasaan sahaja, tetapi mintalah kebinasaan sebanyak-banyaknya
(kerana azab yang menunggu kamu di sini banyak jenisnya)".
[15]
Bertanyalah (kepada
mereka): "Adakah (azab seksa neraka) yang demikian itu lebih baik atau
Syurga yang kekal, yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa?"
Syurga yang sedia diuntukkan bagi mereka sebagai balasan dan tempat kembali.
[16]
Mereka beroleh di
dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki, mereka pula kekal di dalamnya.
Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Tuhanmu, lagi yang
dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing).
[17]
Dan (ingatkanlah)
hari Tuhan menghimpunkan mereka (yang kafir) dan makhluk-makhluk yang mereka
sembah yang lain dari Allah, lalu Ia bertanya (kepada makhluk-makhluk yang
telah dipuja dan disembah itu): "Kamukah yang menyesatkan hamba-hambaKu
itu atau mereka yang sesat jalan?"
[18]
Mereka menjawab: "Maha
Suci Engkau (wahai Tuhan kami)! Sudah tentu tidak patut bagi kami mengambil
sesiapa pun yang lain daripadaMu sebagai pelindung yang disembah (dan tidak
patut juga kami menyeru orang menyembah kami); tetapi engkau (wahai Tuhan kami)
telah melimpahkan kemewahan kepada mereka dan kepada datuk neneknya sehingga
mereka lalai dan cuaikan ajaran ugamaMu, dan menjadilah mereka kaum yang
binasa".
[19]
Maka (dikatakan pula
kepada golongan itu): "Sesungguhnya mereka (yang kamu puja dan sembah) itu
telah mendustakan dakwaan kamu (bahawa mereka yang menyesatkan kamu). Oleh itu,
kamu semua tidak akan dapat menjauhkan azab seksa atau beroleh sebarang
pertolongan". Dan sesiapa yang berlaku zalim di antara kamu (wahai umat
manusia, dengan kekufuran atau maksiat), Kami akan merasakannya azab seksa yang
besar.
[20]
Dan Kami tidak
mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang
tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian dari
kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah
kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu
sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya).