[44]
Atau adakah engkau
menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau
sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan)
mereka lebih sesat lagi.
[45]
Tidakkah engkau
melihat kekuasaan Tuhanmu? - bagaimana Ia menjadikan bayang-bayang itu terbentang
(luas kawasannya) dan jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap (tidak
bergerak dan tidak berubah)! Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang
menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;
[46]
Kemudian Kami tarik
balik bayang-bayang itu kepada Kami, dengan beransur-ansur.
[47]
Dan Dia lah Tuhan
yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk
berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.
[48]
Dan Dia lah Tuhan
yang menghantarkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya,
dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci,
[49]
Untuk Kami hidupkan
dengan air itu bumi yang mati, serta memberi minum air itu kepada sebahagian
dari makhluk-makhluk Kami, khasnya binatang ternak yang banyak dan manusia yang
ramai.
[50]
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah berulang-ulang kali menyebarkan hujjah-hujjah di
antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalku serta
bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku
kufur.
[51]
Dan kalau Kami
kehendaki, tentulah Kami utuskan dalam tiap-tiap negeri, seorang Rasul pemberi
amaran.
[52]
Oleh itu, janganlah
engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah
dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar
dan bersungguh-sungguh.
[53]
Dan Dia lah Tuhan
yang telah mengalirkan dua laut berdampingan, yang satu tawar lagi memuaskan
dahaga, dan yang satu lagi masin lagi pahit; serta Ia menjadikan antara kedua-dua
laut itu sempadan dan sekatan yang menyekat percampuran keduanya.
[54]
Dan Dia lah Tuhan
yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka
dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa
(menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).
[55]
Dan mereka (yang
musyrik) menyembah benda-benda yang lain dari Allah, yang tidak memberi manfaat
kepada mereka (yang menyembahnya) dan tidak pula mendatangkan mudarat kepada
mereka (yang tidak menyembahnya); dan orang yang kafir selalu menjadi pembantu
(bagi golongannya yang kafir) untuk menderhaka kepada tuhannya.