[68]
Dan juga mereka yang
tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa
yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang
dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang
demikian, akan mendapat balasan dosanya;
[69]
Akan digandakan
baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan
kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, -
[70]
Kecuali orang yang
bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu,
Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka
dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[71]
Dan sesiapa yang
bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;
[72]
Dan mereka (yang
diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat
melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan
sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara
membersihkan diri daripadanya.
[73]
Dan
juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi
peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk
mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta.
[74]
Dan juga mereka (yang
diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai
Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami:
perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam
ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
[75]
Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga
disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan
dan ucapan selamat di dalamnya,
[76]
Mereka
kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan
tempat tinggal.
[77]
Katakanlah (wahai
Muhammad kepada golongan yang ingkar): "Tuhanku tidak akan menghargai kamu
kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah mengetahui
bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun melainkan kerana
doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku
itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi
itu) akan menimpa kamu".