Asy-Syu'araa'
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Taa, Siin, Miim.
[2]
Ini
ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata.
[3]
Jangan-jangan
pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu dengan menanggung dukacita,
kerana mereka tidak menjadi orang-orang yang beriman.
[4]
Kalau Kami mahu,
tentulah Kami akan turunkan kepada mereka satu
mukjizat dari langit, yang menjadikan mereka tunduk kepadanya.
[5]
Dan
tidak datang kepada mereka peringatan serta pengajaran yang baharu dari (Allah)
Ar-Rahman, melainkan mereka tetap berpaling mengingkarinya.
[6]
Oleh kerana mereka
telah mendustakan Al-Quran, maka sudah tentu akan
datang kepada mereka berita-berita (azab) mengenai perkara yang mereka
ejek-ejek itu.
[7]
Masihkah mereka
berdegil dan tidak memperhatikan bumi, berapa banyak kami tumbuhkan padanya
dari berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat?
[8]
Sesungguhnya
pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan dan
rahmat pengurniaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakan mereka tidak juga
beriman.
[9]
Dan
sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Mengasihani.
[10]
Dan (ingatkanlah
peristiwa) ketika Tuhanmu menyeru Nabi Musa: "Hendaklah engkau mendatangi
kaum yang zalim, -
[11]
"Iaitu
kaum Firaun; tidakkah mereka mahu mengawal diri dari kemurkaanKu?"
[12]
Nabi Musa merayu
dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku takut bahawa mereka akan
mendustakan daku.
[13]
"Dan akan sempit pula dadaku serta tidak lancar lidahku; oleh itu
utuskanlah perintahMu kepada Harun (supaya ia membantuku).
[14]
"Dan lagi
mereka ada mengemukakan satu tuduhan jenayah terhadapku; oleh itu aku takut
mereka akan membunuhku".
[15]
Allah berfirman:
"Jangan! Jangan fikir (akan berlaku apa yang
engkau bimbangkan itu)! Oleh itu pergilah kamu berdua membawa mukjizat-mukjizat
Kami (yang membuktikan kebenaran kamu); sesungguhnya Kami ada bersama-sama
kamu: mendengar.
[16]
"Maka pergilah
kamu kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: sesungguhnya kami adalah
utusan Tuhan sekalian alam.
[17]
"Menyuruhmu
membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami".
[18]
Firaun menjawab:
"Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau
kanak-kanak yang baharu lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami
beberapa tahun dari umurmu?
[19]
"Dan
(bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (jenayah) yang telah engkau
lakukan dan (dengan itu) engkau dari orang-orang yang tidak mengenang
budi?"