[234]
Dan
orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan
isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama
empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak
ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut
cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa
mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu
lakukan.
[235]
Dan tidak ada
salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan
(secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih
dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan
mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati)
mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat
janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara
sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh
(hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan
ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada
dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah,
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
[236]
Tidaklah
kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu
menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka
atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu
memberi "Mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan
itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran
kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran
kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu
kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.
[237]
Dan jika kamu
ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu
sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka
mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu,
kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang
ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan
perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada
taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri.
Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang
kamu kerjakan.