[45]
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah mengutus kepada kaum Thamud, saudara mereka Nabi Soleh
(menyeru mereka dengan berkata): "Sembahlah kamu akan
Allah!" Maka tiba-tiba mereka menjadi dua puak (mukmin
dan kafir) yang berbalah.
[46]
Nabi Soleh berkata
(kepada puak kafir): "Wahai kaumku, mengapa kamu segerakan kufur ingkar
yang mendatangkan keburukan kepada kamu, (tidak) mendahulukan iman yang
mendatangkan kebaikan kepada kamu? Alangkah baiknya kalau
kamu memohon ampun kepada Allah supaya kamu diberi rahmat."
[47]
Mereka menjawab:
"Kami merasa nahas dan
[48]
Dan di bandar
(tempat tinggal kaum Thamud) itu, ada sembilan orang yang semata-mata melakukan
kerosakan di bumi (dengan berbagai-bagai maksiat) dan tidak melakukan kebaikan
sedikitpun.
[49]
Mereka berkata
(sesama sendiri): "Hendaklah kamu masing-masing bersumpah dengan nama
Allah, bahawa sesungguhnya kita akan membunuh Soleh dan pengikut-pengikutnya
secara mengejut pada waktu malam, kemudian kita akan berkata kepada warisnya: `
Kami tidak hadir (di tempat) pembunuhan (Soleh apalagi membunuhnya atau
membunuh) pengikut-pengikutnya, dan sesungguhnya kami adalah berkata benar '.
"
[50]
Dan (dengan
demikian) mereka telah merancangkan rancangan jahat, dan Kami pula rancangkan
balasannya dengan seburuk-buruk balasan, sedang mereka tidak menyedarinya.
[51]
Maka lihatlah
bagaimana akibat rancangan jahat mereka, iaitu Kami telah hancurkan mereka dan
kaum mereka semuanya.
[52]
Kesudahannya
rumah-rumah mereka itu telah runtuh ranap, dengan sebab mereka berlaku zalim;
sesungguhnya kejadian yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan
iktibar bagi orang-orang yang mahu mengetahui (akan sebab dan musababnya).
[53]
Dan Kami selamatkan
orang-orang yang beriman, serta yang selalu bertaqwa.
[54]
Dan Nabi Lut juga
(Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika ia berkata kepada kaumnya:
"Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya?
[55]
"Sesungguhnya kamu
mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu.
(Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak
mengetahui akan akibatnya)".