[6]
Dan Kami hendak
memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan
kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan
dari golongan yang bertindas itu.
[7]
Dan Kami ilhamkan
kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan
sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di
dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang
dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu,
dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.
[8]
Setelah itu dia
dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan
menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta
orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.
[9]
Dan (ketika melihat
kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: "(Semoga ia menjadi) cahaya
mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna
kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Padahal mereka tidak menyedari
(kesudahannya).
[10]
Dan (sepeninggalannya)
menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya ia nyaris-nyaris menyatakan
perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya
(dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah ia dari
orang-orang yang percaya (akan janji Allah).
[11]
Dan berkatalah ia
kepada kakak Musa: "Pergilah cari khabar beritanya". (Maka pergilah
ia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya.
[12]
Dan Kami jadikan dia
dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak
menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata: "Mahukah, aku
tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk
kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?"
[13]
Maka (dengan jalan
itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak
berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya ia mengetahui bahawa
janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan
mereka tidak mengetahui (yang demikian itu).