[78]
Qarun menjawab
(dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan
pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai)
tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan
sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat
daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah)
orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang
dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).
[79]
Kemudian Qarun
keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah
orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia:
"Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh
Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik".
[80]
Dan berkata pula
orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): "Janganlah kamu berkata
demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal
soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan
orang-orang yang sabar".
[81]
Lalu Kami timbuskan dia
bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang
golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah" dan ia pula tidak dapat
menolong dirinya sendiri.
[82]
Dan orang-orang yang
pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun - mulai sedar
sambil berkata: "Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa
yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah juga yang menyempitkannya
kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan
dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya
orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!"
[83]
Negeri akhirat (yang
telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang
tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak
ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi
orang-orang yang bertaqwa.
[84]
Sesiapa yang datang
membawa amal baik (pada hari akhirat) maka baginya balasan yang lebih baik
daripadanya; dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang
melakukan kejahatan tidak di balas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan.