[64]
Dan (ingatlah
bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika
dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan
permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang
sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak
akan melupakan hari akhirat).
[65]
Dalam pada itu,
apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka
memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus
ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka
(naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya.
[66]
(Akibat syirik itu)
menjadilah mereka orang-orang yang kufurkan nikmat yang Kami telah berikan
kepadanya, dan (menjadi) orang-orang yang hanya dapat bersuka ria di dunia; kemudian mereka akan mengetahui kelak akibat
buruk apa yang mereka lakukan.
[67]
Dan tidakkah mereka
melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah, negeri mereka)
tanah suci yang dihormati, lagi aman; sedang orang-orang ramai yang tinggal
(dalam daerah-daerah) di sekeliling mereka sentiasa diculik (untuk ditawan atau
dibunuh) ? Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah, dan
kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah?
[68]
Dan
tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara
yang dusta terhadap Allah, atau mendustakan kebenaran setelah kebenaran itu
disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka
Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir?
[69]
Dan orang-orang yang
berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami,
sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan
Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan
sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang
berusaha membaiki amalannya.
Ar-Ruum
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Orang-orang Rom telah
dikalahkan -
[3]
Di negeri yang dekat
sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan
mengalahkan lawannya -
[4]
Dalam
masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala
urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya
(kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan
bergembira -
[5]
Dengan
kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya,
dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.