[16]
Dan sebaliknya
kumpulan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran) serta
mendustakan pertemuan hari akhirat, maka mereka akan tetap berada dalam azab
seksa selama-lamanya.
[17]
(Setelah kamu
mengetahui yang demikian) maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada
pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh.
[18]
Serta pujilah Allah
yang berhak menerima segala puji (dari sekalian makhlukNya) di langit dan di
bumi, dan juga (bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia) pada waktu petang dan
semasa kamu berada pada waktu zuhur.
[19]
Ia mengeluarkan
sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari
sesuatu yang hidup, serta menghidupkan bumi sesudah matinya; dan sedemikian
itulah kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur).
[20]
Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia
menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat
kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.
[21]
Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan
untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya
kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu
(suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang
demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran)
bagi orang-orang yang berfikir.
[22]
Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian
langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya
yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang
berpengetahuan.
[23]
Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya ialah tidurnya
kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari
limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian
mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat
pengajaran).
[24]
Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan
kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan
(dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan
bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi
keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.