[33]
Dan apabila manusia
disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan
keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberi mereka
merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian dari mereka
mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya;
[34]
Dengan sebab itu,
mereka mengingkari nikmat-nikmat yang telah Kami berikan kepadanya. Maka
(dikatakan kepada mereka): "Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara),
kemudian kamu akan mengetahui (balasan kederhakaan kamu)".
[35]
Pernahkah Kami
menurunkan kepada mereka (yang musyrik itu) sebarang bukti keterangan, lalu ia
menerangkan jalan yang membolehkan mereka lakukan perbuatan syirik itu?
[36]
Dan apabila Kami
beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa
daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah
dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.
[37]
(Mengapa mereka
bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka)
bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan
adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai
ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang
demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan
Allah) bagi orang-orang yang beriman.
[38]
Maka (bagi
menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta
orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik
bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka itulah
orang-orang yang berjaya.
[39]
Dan (ketahuilah
bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah
kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang
di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian
sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah
semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh
pahala berganda-ganda.
[40]
Allah jualah yang
mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan
kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk
yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun
dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya dari apa
yang mereka sekutukan (denganNya).
[41]
Telah timbul
berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang
telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah
hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang
mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).