[249]
Kemudian apabila
Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia:
"Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu
sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku,
dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku,
kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah
diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan
sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut
bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah
orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak
terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang
yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa
banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan
yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang
yang sabar".
[250]
Dan apabila mereka
(yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan
berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan
teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang
kafir"
[251]
Oleh sebab itu,
mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang
turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah
memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat
kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak
menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain
(yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan
tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.
[252]
Itulah
ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad)
dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul
(yang diutuskan oleh) Allah.