As-Sajdah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Alif, Laam Miim.
[2]
Diturunkan Al-Quran ini,
dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan
mentadbirkan sekalian alam.
[3]
(Orang-orang kafir
tidak mengakui hakikat yang demikian) bahkan mereka mengatakan: "Dia lah
(Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya". (Dakwaan mereka itu tidaklah benar) bahkan Al-Quran ialah perkara
yang benar dari Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi ingatan dan
amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi
ingatan dan amaran sebelummu, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.
[4]
Allah Tuhan yang
menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam
masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang
penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu
insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?
[5]
Allah mentadbirkan
makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia
menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat
naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu
untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang
bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.
[6]
Yang demikian
sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata;
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani;
[7]
Yang menciptakan
tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia
berasal dari tanah;
[8]
Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu
dari air (benih) yang sedikit dipandang orang;
[9]
Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh
ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu
pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur,
tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.
[10]
Dan mereka (yang
kafir) itu berkata: "Adakah apabila kami telah hilang lenyap dalam tanah,
kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu? Betulkah demikian? " (Mereka
bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula) bahkan mereka tidak percaya
tentang pertemuan dengan Tuhannya.
[11]
Katakanlah
(wahai Muhammad); "Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang
ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan
kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)".