[16]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari
pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan
faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka
kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa
sahaja".
[17]
Katakanlah:
"Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu
menimpakan bala bencana kepada kamu, atau (siapakah yang dapat menahan
kemurahan Allah) jika Ia hendak memberikan rahmat kepada kamu? " Dan
(ingatkanlah) mereka (yang munafik) itu: bahawa mereka tidak akan beroleh
sesiapapun - yang lain dari Allah - yang akan menjadi pelindung atau penolong
mereka.
[18]
Sesungguhnya Allah
mengetahui akan orang-orang (munafik) yang menghalangi di antara kamu, dan
orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: "Marilah bersatu
dengan kami", sedang mereka tidak turut berperang melainkan sebentar
sahaja.
[19]
Mereka bersikap
bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang-orang mukmin untuk memberikan
sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang
menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai
Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti
orang yang pengsan semasa hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut
itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil mereka tamakan
kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman, lalu
Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah
melaksanakannya.
[20]
Mereka menyangka
bahawa tentera "Al-Ahzaab" itu belum pergi; dan kalaulah tentera
Al-Ahzaab datang semula, tentulah mereka suka kalau mereka tinggal jauh di
desa-desa bersama-sama orang-orang Arab Badwi sambil bertanyakan berita
mengenai kamu; dan kalaulah mereka ada bersama-sama kamu (pada ketika itu),
mereka tidak akan turut berperang melainkan sebentar sahaja.
[21]
Demi sesungguhnya,
adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi
orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari
akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa
susah dan senang)
[22]
Dan pada masa
orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:"
Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa
yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh
yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada
menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.