[23]
Di antara
orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah
dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara
mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan
di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa
yang mereka janjikan itu) sedikitpun.
[24]
(Berlakunya yang
demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran
mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Ia kehendaki, atau Ia menerima
taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[25]
Dan Allah telah
menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke tempat
masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa),
mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang-orang
yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah) adalah
Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
[26]
Dan Ia menurunkan
golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh itu, dari
benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikanNya hati mereka dengan
perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman); sebahagian di
antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan.
[27]
Dan Ia menjadikan
kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga
tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan (ingatlah)
adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[28]
Wahai Nabi,
katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan
dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku
berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan
cara yang sebaik-baiknya.
[29]
"Dan sekiranya
kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di
negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang
berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar".
[30]
Wahai isteri-isteri
Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata,
nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang
demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.