[44]
Sambutan
penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa
menemuiNya ialah ucapan "Salam" (selamat sejahtera); dan Ia telah
menyediakan untuk mereka pahala balasan yang mulia.
[45]
Wahai Nabi,
sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa
berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada
orang-orang yang ingkar).
[46]
Dan
juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada ugama Allah dengan taufiq
yang diberiNya; dan sebagai lampu yang menerangi.
[47]
Dan (dengan itu) sampaikanlah
berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya
mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari
Allah.
[48]
Dan
janganlah engkau menurut kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan
janganlah engkau hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada
Allah (memelihara keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang
menyelamatkanmu).
[49]
Wahai
orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan
yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka
tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh
hitungkan masanya. Oleh itu, berilah "mut'ah" (pemberian sagu hati)
kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang
sebaik-baiknya.
[50]
Wahai Nabi,
sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan
maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah
dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan
bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa
saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari
sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta
anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah
bersama-sama denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan
yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan
tidak membayar maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan
yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, buka bagi orang-orang yang
beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan
kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan
yang mereka miliki; - supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan
(ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.