[51]
Engkau boleh
menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka dan engkau boleh
mendamping: sesiapa yang engkau kehendaki; dan sesiapa yang engkau hendak
mendampinginya kembali dari mereka yang telah engkau jauhi itu maka tidaklah
menjadi salah bagimu melakukannya; kebebasan yang diberikan kepadamu itu (bila
diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, dan
menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka pula reda akan apa
yang engkau lakukan kepada mereka semuanya. Dan (ingatlah) Allah sedia
mengetahui apa yang ada dalam hati kamu; dan Allah
adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
[52]
Tidak halal bagimu
berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah
(isteri-isterimu yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka
dengan isteri-isteri yang baharu sekalipun engkau tertarik hati kepada
kecantikan mereka, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu.
[53]
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana
hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan
dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka
masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka
hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan
berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi
sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah
tidak malu daripada menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu meminta sesuatu yang
harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik
tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan kamu
tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan
isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya
segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah.
[54]
(Awasilah
keadaan-keadaan kamu, kerana) jika kamu nyatakan sesuatu atau kamu sembunyikan
dia, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan
segala-galanya.