[15]
Demi sesungguhnya,
adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan
Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang
luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung
mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian
Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang
baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.
[16]
Maka mereka
berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan,
dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua
kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan
pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.
[17]
Demikianlah
Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak
menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur.
[18]
Dan - di antara
tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri
Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), - Kami adakan
beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui
jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat
dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): "
Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam
dan siang, dalam keadaan yang aman".
[19]
(Maka kamakmuran dan
kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: "Wahai
Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan
yang lain)", dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri; lalu
Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang ramai, serta
kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah
mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya bagi
tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa
bersyukur.
[20]
Dan sesungguhnya
Iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya, kecuali
sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada
hasutannya).
[21]
Dan sememangnya
tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi
ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar
beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap
sesuatu.
[22]
Katakanlah (wahai
Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah makhluk-makhluk yang kamu
dakwakan sebagai tuhan selain dari Allah; mereka tidak memiliki kuasa seberat
debu pun di langit dan di bumi, dan mereka tiada sebarang bahagian perkongsian
(dengan Allah) dalam (mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi, dan Allah
pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari mereka".