[40]
Dan (ingatkanlah)
masa Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Ia bertanya
kepada malaikat: "Adakah orang-orang ini, (kamu setujui) menyembah kamu
dahulu?"
[41]
Malaikat menjawab:
"Maha Suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu denganMu). Engkaulah (yang
kami hubungi sebagai Pemimpin dan) Pelindung kami bukan mereka. (Tidak ada
hubungan dari pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan mereka kepada
kami), bahkan mereka adalah menyembah Jin Syaitan; kebanyakan mereka pula
percaya kepada Jin Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan
dipatuhi)".
[42]
Maka pada hari ini,
masing-masing di antara kamu tidak berkuasa memberi sebarang manfaat kepada
kawannya, dan tidak pula dapat menolak sesuatu bahaya daripadanya; dan Kami
katakan kepada orang-orang yang zalim (yang berlaku syirik) itu: "Rasalah
azab neraka yang kamu dahulu mendustakannya".
[43]
Dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata, berkatalah
mereka (sesama sendiri): "Orang ini (Muhammad) tidak lain hanyalah seorang
lelaki yang hendak menghalang kamu daripada menyembah apa yang telah disembah
oleh datuk nenek kamu"; dan mereka berkata lagi: (Al-Quran) ini tidak lain
hanyalah kata-kata dusta yang direka-reka"; dan berkatalah orang-orang
yang kafir terhadap kebenaran ketika datangnya kepada mereka: "ini tidak
lain hanyalah sihir yang terang nyata".
[44]
Dan (tidak ada
sebarang alasan bagi dakwaan mereka, kerana) Kami tidak pernah memberi kepada
mereka Kitab-kitab untuk mereka membaca dan mengkajinya, dan Kami juga tidak
pernah mengutus kepada mereka sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul
pemberi amaran (melarang mereka menerima ajaranmu).
[45]
Dan (ketahuilah
bahawa) umat-umat yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan
(Rasul-rasulnya), sedang mereka (yang mendustakanmu) itu tidak: mencapai satu
persepuluh (dari kekayaan, kepandaian dan kekuatan) yang Kami beri kepada
umat-umat yang terdahulu itu; setelah umat-umat itu mendustakan Rasul-rasulKu
(mereka pun dibinasakan). Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya
akibat kemurkaanKu (menimpa mereka).
[46]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara
sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran
kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau
seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk
mengetahui salah benarnya ajaranKu)". Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad)
yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia
hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab
yang berat (di akhirat).
[47]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Apa jua yang aku harap kamu berikan kepadaku sebagai upah maka
faedahnya tetap terpulang kepada kamu; balasan yang menjadi upahku yang sebenar
hanyalah dari Allah, dan Ia sentiasa Memerhati serta Menyaksikan tiap-tiap
sesuatu".
[48]
Katakanlah lagi:
"Sesungguhnya TuhanKu, menurunkan wahyu (kepada Nabi-nabi pilihanNya)
dengan perkara yang benar; Ia sentiasa Mengetahui akan segala perkara yang
ghaib".