[260]
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku!
Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang
mati?" Allah berfirman: "Adakah engkau belum percaya (kepada
kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan
yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku
(yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian),
ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah
semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian
daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang
kepadamu dengan segera". Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.
[261]
Bandingan (derma)
orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh
tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah),
Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang
dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu
pengetahuanNya.
[262]
Orang-orang yang
membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak
mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit
(pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi),
mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak
akan berdukacita.
[263]
(Menolak
peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan
mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan
perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya,
lagi Maha Penyabar.
[264]
Wahai orang-orang
yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan
membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal
sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada
manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka
bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya,
kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak
bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu)
mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan.
Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk
kepada kaum yang kafir.