[55]
Sesungguhnya
penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati
kesenangan;
[56]
Mereka dengan
pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk
berbaring di atas pelamin;
[57]
Mereka beroleh dalam
Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang
mereka kehendaki;
[58]
(Mereka juga
beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.
[59]
Dan (sebaliknya
dikatakan kepada orang-orang yang kafir): "Berpisahlah kamu pada hari ini,
hai orang-orang yang berdosa, (dari bercampur gaul dengan orang-orang yang
beriman).
[60]
"Bukankah Aku
telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah
Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
[61]
"Dan (Aku
perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.
[62]
"Dan sesungguhnya
Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu
mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?
[63]
"Yang kamu
saksikan sekarang ialah neraka Jahannam, yang kamu selalu diancam memasukinya
(kalau kamu tidak taatkan perintah Allah).
[64]
"Rasalah kamu
bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah
lakukan!"
[65]
Pada waktu itu Kami
meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan
mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi
saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.
[66]
(Matahati
orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa
menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga
masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya
dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya?
[67]
(Kekuatan akal
fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau kami kehendaki, kami berkuasa
mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka
berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga
tidak dapat undur ke belakang.
[68]
Dan (hendaklah
diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali
kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa
mereka tidak mahu memikirkannya?
[69]
(Nabi Muhammad
bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian
bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak
lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan;
[70]
Supaya ia memberi
peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman
(azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.