[270]
Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja
yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah),
orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.
[271]
Kalau
kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah
baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan
sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka
itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian
dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara
mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[272]
Tidaklah engkau
diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk
(kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan
tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada
sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua
harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan
pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan
sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan
dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan
(balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.
[273]
Pemberian sedekah
itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan
menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak
berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu
disangka: orang kaya - oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka
menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat)
sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai
dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang
kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa
Mengetahuinya.
[274]
Orang-orang yang membelanjakan
(mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara
sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak
ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka,
serta mereka pula tidak akan berdukacita.