[32]
(Apabila berlaku
yang demikian), maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang
yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan
kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah
(telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi
orang-orang yang kafir?
[33]
Dan (nyatalah
bahawa) yang membawa kebenaran (tauhid dan hukum ugama) serta ia (dan
pengikut-pengikutnya) mengakui kebenarannya (dengan mematuhi hukum itu), mereka
itulah orang-orang yang bertaqwa.
[34]
Disediakan untuk mereka
apa yang mereka kehendaki, di sisi Tuhan mereka; demikianlah balasan
orang-orang yang berusaha memperbaiki amal perbuatannya.
[35]
(Limpah kurnia yang
demikian, diberikan kepada orang-orang yang bertaqwa) kerana Allah hendak
menghapuskan dari mereka (kalaulah ada) seburuk-buruk amal perbuatan yang
mereka telah lakukan, serta membalas mereka, akan pahala mereka, dengan balasan
yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.
[36]
Bukankah Allah cukup
untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)? Dan mereka menakutkanmu
(wahai Muhammad) dengan yang mereka sembah yang lain dari Allah. Dan (ingatlah)
sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah), maka tidak
ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.
[37]
Dan sesiapa yang
diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan sebab pilihannya yang benar), maka
tidak ada sesiapapun yang dapat menyesatkannya. Bukankah Allah Maha Kuasa, lagi
berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah)?
[38]
Dan demi
sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang
musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu
mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka):
"Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain
dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya,
dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah
hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?"
Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku);
kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".
[39]
Katakanlah:
"Wahai kaumku (yang masih berdegil dalam kekufurannya)! Buatlah sedaya
upaya kamu (untuk menentang ugama Islam yang aku sampaikan itu), sesungguhnya
aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh (untuk mengembangkannya);
kemudian kamu akan mengetahui kelak -
[40]
"Siapakah yang
akan didatangi azab yang menghinakannya, serta akan ditimpakan kepadanya azab
seksa yang berkekalan".