[68]
Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah
makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang
dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali
lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).
[69]
Dan akan bersinar terang-benderanglah bumi (hari akhirat) dengan
cahaya Tuhannya; dan akan diberikan Kitab suratan amal (untuk dibicarakan); dan
akan dibawa Nabi-nabi serta saksi-saksi; dan akan dihakimi di antara mereka
dengan adil, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.
[70]
Dan akan disempurnakan bagi tiap-tiap seorang - balasan apa yang
telah dikerjakannya, dan Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka telah
lakukan.
[71]
Dan orang-orang
kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila
mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah
penjaga-penjaganya kepada mereka: Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul
dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu
dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?" Mereka menjawab:
"Ya, telah datang! Tetapi telah ditetapkan hukuman azab
atas orang-orang yang kafir.
[72]
(Setelah itu)
dikatakan kepada mereka: "Masukilah pintu-pintu neraka Jahannam itu dengan
keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi
orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam.
[73]
Dan orang-orang yang
bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga
apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan
penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:" Salam
sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga
ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya" (mereka pun masuk) -
[74]
Serta mereka
berkata:" Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjiNya
kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan
sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja
kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi
orang-orang yang beramal".