[8]
"Wahai Tuhan
kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah
janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang
layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan
mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[9]
"Dan
peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan
(sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan)
kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah
mengurniakan rahmat kepadanya; dan yang demikian itulah kemenangan yang besar
(nilainya)".
[10]
Sesungguhnya
orang-orang yang kafir akan dipanggil dan dikatakan kepada mereka (pada hari
kiamat): "Demi sesungguhnya! Kebencian Allah (kepada kamu) lebih besar
daripada kebencian kamu kepada diri sendiri, (sebabnya kerana) semasa kamu
diseru dan diajak (di dunia dahulu) supaya beriman, (kamu enggan dan menolak),
lalu kamu terus berkeadaan kufur".
[11]
Mereka menjawab:
"Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan kami berkeadaan mati dua kali,
dan telah menjadikan kami bersifat hidup dua kali, maka kami (sekarang)
mengakui akan dosa-dosa kami. Oleh itu adakah sebarang jalan untuk (kami)
keluar (dari neraka)?"
[12]
(Lalu dikatakan
kepada mereka): "Azab yang kamu berada padanya itu adalah kerana keadaan
kamu apabila Allah Yang Maha Esa sahaja diseru dan disembah, kamu kufur (dan
menolak cara bertauhid itu); dan apabila dipersekutukan sesuatu dengan Allah,
kamu percaya (dan menerima bawaan syirik itu). Maka kuasa menjalankan keadilan
adalah hak Allah, Yang Maha Tinggi (dari apa yang dipersekutukan), lagi Yang
Maha Besar (pemerintahanNya)".
[13]
Dia lah Tuhan yang
memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaanNya dan kekuasaanNya (untuk kehidupan
rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari
langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian)
melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah).
[14]
Oleh itu maka
sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya (dan menjauhi
bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang
demikian).
[15]
Dia lah Yang Maha
tinggi darjat kebesaranNya, yang mempunyai Arasy (yang melambangkan keagungan
dan kekuasaanNya); Ia memberikan wahyu dari hal perintahNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (yang telah dipilih menjadi RasulNya),
supaya Ia memberi amaran (kepada manusia) tentang hari pertemuan,
[16]
Iaitu hari mereka
keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi
kepada Allah sesuatupun dari hal keadaan mereka. (Pada saat itu Allah
berfirman): "Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah
sendiri menjawab): "Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi
kekuasaanNya segala-galanya!