[41]
"Dan
wahai kaumku! Apa halnya aku dengan kamu? Aku mengajak kamu kepada keselamatan, dan
kamu pula mengajakku ke neraka?
[42]
"Kamu
mengajakku supaya aku kufur (tidak percayakan keesaan) Allah dan
mempersekutukanNya dengan apa yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya,
padahal aku mengajak kamu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Pengampun?
[43]
"Tidak
syak lagi, bahawa makhluk-makhluk yang kamu ajak aku menyembahnya itu tidak
dapat menyahut sebarang seruan (atau memberikan sebarang pertolongan) sama ada
di dunia atau di akhirat; dan sesungguhnya tempat kembali kita semua ialah
kepada Allah, dan sebenarnya orang-orang yang melampau kejahatannya itu,
merekalah ahli neraka.
[44]
"(Kiranya
kamu tetap berdegil sekarang) maka kamu sudah tentu akan mengetahui kebenaran
apa yang aku katakan kepada kamu; dan aku sentiasa menyerahkan urusanku
bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat
akan keadaan hamba-hambaNya".
[45]
(Dengan
keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah) maka ia
diselamatkan oleh Allah dari angkara tipu daya mereka; dan Firaun bersama-sama
kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya,
[46]
Mereka didedahkan
kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang
(semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat
(diperintahkan kepada malaikat): "Masukkanlah Firaun dan
pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang
seberat-beratnya!"
[47]
Dan (ingatkanlah
perkara yang berlaku) semasa orang-orang yang kafir dan yang menderhaka berbantah-bantahan
dalam neraka, iaitu orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) berkata
kepada pemimpin-pemimpinnya yang sombong takbur: "Sesungguhnya kami telah
menjadi pengikut-pengikut kamu, maka dapatkah kamu menolak dari kami sebahagian
daripada azab neraka ini?"
[48]
Orang-orang yang
sombong angkuh itu menjawab: "Sebenarnya kita semua menderita bersama-sama
dalam neraka (tidak ada jalan untuk kita melepaskan diri), kerana sesungguhnya
Allah telah menetapkan hukumanNya di antara sekalian hambaNya
"
[49]
Dan berkatalah pula
orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka
Jahannam: "Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Ia meringankan sedikit
azab seksa dari kami, barang sehari".