[21]
Dan (setelah berlaku
yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka:
"Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?" Kulit-kulit badan mereka
menjawab: "Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai
berkata-kata - telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang
menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk
menerima balasan).
[22]
"Dan semasa
kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu
bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi
saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana
kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan
(secara bersembunyi itu).
[23]
"Dan sangkaan
kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah
membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu
dari orang-orang yang rugi!"
[24]
Oleh itu, sama ada
mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya (maka sama sahaja) kerana
nerakalah tempat tinggal mereka; dan jika mereka memohon peluang untuk mendapat
keredaan Allah, maka mereka bukanlah lagi dari orang-orang yang diterima
permohonannya.
[25]
Dan Kami adakan
untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu
memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara
dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di
belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka
bersama-sama dengan umat umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu
daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan
hidupnya).
[26]
Dan orang-orang yang
kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia
(dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak),
supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara
pembacanya)!"
[27]
Maka, demi
sesungguhnya! Kami akan merasakan orang-orang yang kafir itu azab seksa yang seberat-beratnya,
dan Kami akan membalas mereka dengan seburuk-buruk balasan bagi apa yang mereka
telah kerjakan.
[28]
Demikianlah
keadaannya balasan musuh-musuh Allah iaitu neraka; disediakan untuk mereka
tempat tinggal yang kekal didalamnya, sebagai balasan bagi perbuatan mereka
sentiasa mengingkari ayat-ayat Kami.
[29]
Dan orang-orang yang
kafir berkata: "Wahai Tuhan kami! Perlihatkanlah kepada kami dua golongan
yang telah menyesatkan kami dari jin dan manusia, untuk kami meletakkan mereka di
bawah tapak kaki kami, supaya mereka menjadi golongan yang terkebawah dalam
kehinaan".