[47]
Kepada (ilmu
pengetahuan) Allah jua lah kembalinya soal mengetahui masa datangnya hari
kiamat; dan (demikianlah tiap-tiap apa yang akan berlaku, kerana) sebiji buah
(umpamanya) tidak akan keluar dari kelopaknya, dan seorang ibu tidak akan
mengandung dan tidak akan melahirkan anak, melainkan (pada masa dan keadaan
yang betul tepat) dengan pengetahuan Allah. Dan pada hari Tuhan menyeru mereka
(yang musyrik, dengan bertanya kepada mereka): "Mana dia makhluk-makhluk
yang kamu sifatkan menjadi sekutu-sekutuKu?" Mereka menjawab: "Kami
mengakui kepadaMu (wahai Tuhan kami), bahawa tidak ada di antara kami seorang
pun yang mahu menjadi saksi (kerana anggapan kami dahulu telah nyata salahnya)!"
[48]
Dan (pada saat itu)
hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka sembah dahulu (yang diharapkan
pertolongannya), dan yakinlah mereka bahawa tidak ada sebarang jalan untuk
mereka melepaskan diri (dari azab seksa).
[49]
Manusia tidak
jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka menjadilah ia
seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari
rahmat pertolongan Allah).
[50]
Dan demi
sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu rahmat dari Kami sesudah ia
ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah ia (dengan sikap tidak bersyukur):
"Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata), dan aku tidak fikir bahawa
hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku
(sekalipun), sudah tentu aku aKan beroleh kebaikan di sisiNya (seperti
kesenanganku sekarang ini)!" Maka demi sesungguhnya! Kami akan memberi
tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang mereka
telah kerjakan, dan Kami akan beri mereka merasai azab seksa yang seberat-beratnya.
[51]
Dan apabila Kami
kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari
bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan
panjang lebar.
[52]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sudahkah nampak baiknya keadaan kamu jika Al-Quran ini (yang
datangnya) dari Allah kemudian kamu mengingkarinya? Siapakah yang lebih sesat
daripada orang yang tetap berada dalam perbalahan dan pertentangan, yang
menyimpang jauh dari kebenaran?"
[53]
Kami akan
perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat
(dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga
ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata
kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu
mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?
[54]
Ingatlah!
Sesungguhnya mereka (yang kufur ingkar) sentiasa berada di dalam keadaan syak -
ragu-ragu tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah! Sesungguhnya Allah
Maha Meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu.