[11]
Dia lah yang
menciptakan langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis
kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak
pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian
dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding
dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha
Mendengar, lagi Maha Melihat.
[12]
Dia lah jua yang
menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Ia memewahkan rezeki bagi
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia
juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Ia Maha
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[13]
Allah telah
menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya
- apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah)
wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada
Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian
ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya".
Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru
mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya
untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya
itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).
[14]
Dan umat tiap-tiap
Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan ugama Allah)
melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka
mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan
yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Dan kalaulah
tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan
hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab
dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan
Allah mewarisi Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak
yang menggelisahkan terhadap Kitab itu.
[15]
Oleh kerana yang
demikian itu, maka serulah (mereka - wahai Muhammad - kepada berugama dengan
betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang
diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu
mereka; sebaliknya katakanlah: "Aku beriman kepada segala Kitab yang
diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara
kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu
amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu
(kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama
(pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi
dan diberi balasan)".