[16]
Dan orang-orang yang
berhujah menyangkal dan membantah tentang kebenaran ugama Allah sesudah
disambut dan diterima ugamaNya itu - bantahan (dan tuduhan palsu) mereka itu
sia-sia belaka di sisi Tuhan mereka. Dan mereka pula ditimpa kemurkaan (dari
Allah) serta mereka beroleh azab seksa yang seberat-beratnya.
[17]
Allah yang
menurunkan Kitab Suci dengan membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang
menjadi neraca keadilan. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Boleh jadi
hari kiamat itu sudah hampir (masa datangnya).
[18]
Orang-orang yang
tidak beriman kepada hari kiamat itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya
disegerakan kedatangannya, dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa
takut ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah
benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai hari kiamat
itu, tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.
[19]
Allah Maha Lembut
tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada
hamba-hambaNya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
[20]
Sesiapa yang
menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan
memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang
menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri
kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak
akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.
[21]
Patutkah mereka
mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari ugama mereka
- sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak
kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan
hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan
serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang
yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[22]
(Pada hari kiamat)
engkau akan melihat orang-orang yang zalim takut ngeri (akan balasan buruk)
bagi kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, sedang azab seksa itu tetap
menimpa mereka. Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh
(bersenang-lenang) dalam taman-taman Syurga; mereka beroleh apa sahaja yang
mereka ingini di sisi Tuhan mereka; yang demikian itu ialah limpah kurnia yang
besar.