[45]
Dan engkau juga akan melihat mereka didedahkan kepada neraka dalam keadaan
tunduk membisu dengan sebab kehinaan (yang mereka rasai) sambil memandang (ke
neraka itu) hanya dengan mengerling (kerana gerun takut). Dan orang-orang yang
beriman pula berkata: "Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan
sebenar-benarnya) ialah mereka yang merugikan dirinya sendiri dan
pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab mereka memilih perbuatan
derhaka di dunia). Ingatlah! Sesungguhnya orang-orang yang zalim
itu berada dalam azab seksa yang kekal".
[46]
Dan
tiadalah bagi mereka sebarang penolong - yang lain dari Allah - yang dapat
memberikan pertolongan kepada mereka; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah
(disebabkan pilihannya yang salah) maka tidak ada baginya sebarang jalan (untuk
mendapat hidayah petunjuk).
[47]
Sahut
dan sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya
dari Allah - hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu
tempat berlindung (dari azabNya), dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan
untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan).
[48]
Oleh itu, jika
mereka berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai
pengawas terhadap mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang diperintahkan kepadamu). Dan (ingatlah)
sesungguhnya apabila Kami memberi manusia merasai sesuatu rahmat dari Kami, ia bergembira dengannya; dan (sebaliknya) jika mereka
ditimpa sesuatu kesusahan disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan, maka
(mereka segera membantah serta melupakan rahmat yang mereka telah menikmatinya,
kerana) sesungguhnya manusia itu sangat tidak mengenang nikmat-nikmat Tuhannya.
[49]
Bagi Allah jualah
hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia
menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada
sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa
yang dikehendakiNya.
[50]
[51]
Dan tidaklah layak
bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan
wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan
mendengar suara sahaja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan
itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang
dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Bijaksana.