[48]
Dan tidaklah Kami
memperlihatkan kepada mereka sesuatu tanda kebenaran Nabi Musa melainkan tanda
itu adalah lebih terang dari yang terdahulu daripadanya; Dan Kami timpakan
mereka dengan berbagai azab (bala bencana), supaya mereka kembali (bertaubat).
[49]
Dan (apabila bala
bencana itu menimpa mereka), mereka merayu kepada Nabi Musa dengan berkata:
"Wahai orang yang bijak pandai, pohonkanlah kepada Tuhanmu keselamatan
untuk kami dengan (kemuliaan) pangkat Nabi yang diberikan kepadamu;
sesungguhnya kami (sesudah itu) akan patuh beriman".
[50]
Setelah Kami
hapuskan azab itu daripada mereka, mereka terus mencabuli janjinya.
[51]
Dan Firaun pula
menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku!
Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - akulah yang menguasainya, dan
sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya?
[52]
"Bahkan
bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang
hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?
[53]
"(Kalau betul
ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang
emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama
dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?"
[54]
(Dengan yang
demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya;
sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka.
[55]
Setelah mereka
menyebabkan kemurkaan Kami (dengan perbuatan derhaka itu), Kami menyeksa
mereka, iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut (sehingga binasa).
[56]
Maka kami jadikan
mereka contoh dan pengajaran bagi orang-orang yang datang kemudian.
[57]
Dan ketika (nabi
Isa) anak Maryam dikemukakan sebagai satu misal perbandingan, (untuk
membantahmu wahai Muhammad), tiba-tiba kaummu bersorak-sorak kesukaan
terhadapnya (kerana menyangka bahawa mereka telah menang).
[58]
Dan mereka berkata
lagi: "Manakah yang lebih baik, benda-benda yang kami sembah atau
Isa?" Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu
(wahai Muhammad) melainkan kerana membantah semata-mata (bukan kerana mencari
kebenaran); bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali mengemukakan
bantahan.
[59]
Nabi Isa itu tidak
lain hanyalah seorang hamba yang telah Kami kurniakan nikmat kepadanya (dengan
pangkat Nabi), dan Kami jadikan dia satu contoh (kekuasaan kami yang
menakjubkan) bagi kaum Bani Israil.
[60]
Dan kalaulah kami
kehendaki, kami berkuasa melahirkan daripada kamu (wahai kaum lelaki): malaikat
mengganti kamu (menjalankan urusan) di muka bumi.