[10]
Sesungguhnya
orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad - untuk
berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia
kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk
membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya
tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan
apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah
akan memberi kepadanya pahala yang besar.
[11]
Orang-orang
"A'raab" (kaum Arab Badwi) yang ketinggalan tidak turut (bersama-sama
denganmu ke Hudaibiyah), akan berkata kepadamu (wahai
Muhammad): "Kami telah dihalangi oleh urusan menjaga keselamatan harta
benda dan anak isteri kami; oleh itu, pohonkanlah ampun kepada Allah untuk
kami". Mereka berkata dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya.
Katakanlah (wahai Muhammad: "Jika demikian sebab ketinggalan kamu) maka
adakah sesiapa yang berkuasa mempertahankan kamu daripada terkena atau menerima
sesuatu ketetapan dari Allah jika Ia tetapkan kamu ditimpa bahaya atau beroleh
manfaat? (Tidak ada sesiapapun, dan apa yang kamu
katakan itu bukanlah menjadi sebab) bahkan Allah adalah Maha Mendalam
pengetahuanNya tentang sebab ketinggalan yang kamu lakukan itu (dan Ia akan
membalasnya).
[12]
"(Itu bukanlah
sebabnya) bahkan sebabnya kamu telah menyangka bahawa Rasulullah dan
orang-orang yang beriman (yang pergi berperang akan binasa semuanya dan) tidak
akan kembali lagi kepada akan isteri dan keluarga masing-masing selama-lamanya;
dan sangkaan yang demikian itu diperelokkan (oleh Syaitan) di dalam hati kamu
(serta menerimanya); dan lagi kamu telah menyangka berbagai-bagai sangkaan yang
buruk (terhadap ugama Allah yang dibawa oleh RasulNya); dan (dengan itu)
menjadilah kamu kaum yang rosak binasa".
[13]
Dan (ingatlah
bahawa) sesiapa yang tidak beriman kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya
Kami sediakan bagi orang-orang kafir itu api neraka
yang menjulang-julang.
[14]
Dan (ingatlah juga
bahawa) kuasa pemerintahan langit dan bumi adalah hak kepunyaan Allah, Ia berkuasa mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia
juga berkuasa menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah adalah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[15]
Orang-orang
(munafik) yang tidak turut berjuang (bersama-sama kamu) akan berkata semasa
kamu pergi (mengepong musuh serta) mendapat harta rampasan perang: Biarkanlah
kami turut serta dengan kamu!" Mereka (dengan itu) hendak mengubah janji
Allah (yang menentukan hanya orang-orang yang turut hadir di Hudaibiyah sahaja
yang berhak mendapat harta rampasan perang itu). Katakanlah (wahai Muhammad):
"Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami; demikianlah
Allah menegaskan (larangan itu) semenjak dahulu lagi". Mereka akan berkata pula: "(Bukan Tuhan yang melarang) bahkan
kamu dengki kepada kami", (apa yang mereka katakan itu tidaklah benar),
bahkan mereka tidak faham kecuali sedikit sahaja; (mereka hanya faham tentang
kehidupan dan kesenangan dunia semata-mata).