[5]
Dan kalaulah mereka
bersabar menunggu sehingga engkau keluar menemui mereka, tentulah cara yang demikian lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah),
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[6]
Wahai orang-orang
yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita,
maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan
sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu
(mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa
yang kamu telah lakukan.
[7]
Dan ketahuilah!
Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau
pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu
dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi
(Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu
wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan
iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan
menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu:
perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah
orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; -
[8]
(Mereka
dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari
Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[9]
Dan jika dua puak
dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya;
jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang
zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh
maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta
berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berlaku adil.
[10]
Sebenarnya
orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua
saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu
beroleh rahmat.
[11]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan
merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan
itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum
perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana)
harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah
setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu
panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.
(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi
fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia
beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat
(daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.