Qaaf
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Qaaf. Demi Al-Quran
yang melimpah-limpah kemuliaan dan kebaikannya (bahawa sesungguhnya Muhammad adalah
Rasul yang diutus memberi peringatan dan amaran).
[2]
(Kaum musyrik Makkah
bukan sahaja mengingkari kerasulannya) bahkan mereka merasa hairan kerana
datang kepada mereka, dari kalangan mereka sendiri, seorang Rasul pemberi
peringatan dan amaran (mengenai perkara hidup semula sesudah mati); lalu
orang-orang yang kafir itu berkata: "Ini adalah satu perkara yang
menakjubkan!
[3]
"Adakah
(kita akan kembali hidup) sesudah kita mati dan menjadi tanah? Itu adalah cara
kembali yang jauh (dari kemungkinan, kerana jasad yang telah hancur tidak dapat
diketahui lagi)".
[4]
(Apa yang mereka
katakan itu tidaklah benar, kerana) Kami sedia mengetahui apa
yang dimakan oleh bumi sedikit demi sedikit dari (tubuh orang mati) mereka,
serta ada di sisi Kami sebuah Kitab yang menyimpan (catitan segala perkara yang
berlaku).
[5]
(Mereka
tidak mahu berfikir betul) bahkan mereka (terburu-buru) mendustakan kebenaran
apabila sahaja sampainya kepada mereka; oleh sebab itu, mereka berada dalam
keadaan yang serba kacau.
[6]
(Kalaulah
mereka menyangka Kami tidak berkuasa mengembalikan mereka hidup semula) maka
tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah atas mereka (dengan
tidak bertiang) bagaimana Kami membinanya (dengan rapi) serta Kami menghiasinya
(dengan bintang-bintang), dan dengan keadaan tidak ada padanya retak-renggang? -
[7]
Dan juga (keadaan)
bumi ini, (bagaimana) Kami bentangkan dia sebagai hamparan, dan Kami letakkan
padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai
jenis tanaman yang indah subur?
[8]
(Kami
adakan semuanya itu) untuk menjadi perhatian dan peringatan, (yang menunjukkan
jalan kebenaran), kepada tiap-tiap seorang hamba Allah yang mahu kembali
kepadaNya (dengan taat dan berbakti).
[9]
Dan juga Kami telah
menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan
dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai;
[10]
Serta pohon-pohon
kurma yang tinggi menjulang, yang mengeluarkan mayang, berlapis-lapis, lagi
lebat putiknya;
[11]
(Semuanya
itu) sebagai rezeki bagi hamba-hamba Kami. Dan lagi Kami
telah hidupkan dengan air itu bumi yang mati; demikianlah pula keadaan
keluarnya (orang-orang yang mati dari kubur setelah dibangkitkan hidup semula).
[12]
Sebelum mereka (yang
menentang Nabi Muhammad) itu - kaum Nabi Nuh, dan "Ashaabur-Rassi"
serta Thamud (kaum Nabi Soleh), telah juga mendustakan Rasul masing-masing,
[13]
Dan juga Aad (kaum
Nabi Hud), dan Firaun, serta kaum Nabi Lut,
[14]
Dan
juga penduduk "Aikah", serta kaum " Tubba' "; tiap-tiap
satu kaum itu telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepadanya), lalu
mereka ditimpa azab yang Aku janjikan.
[15]
(Setelah
mereka melihat dan memerhatikan makhluk-makhluk yang Kami ciptakan itu) maka
adakah Kami telah lemah dengan ciptaan yang pertama itu (sehingga Kami tidak
dapat mengadakannya semula? Tidak! Dan merekapun tidak mengingkari
kekuasaan Kami). Bahkan mereka berada dalam keadaan
keliru dan ragu-ragu tentang ciptaan makhluk-makhluk (hidup semula) dalam
bentuk yang baharu.