[32]
Adakah mereka
disuruh oleh akal fikiran mereka melemparkan tuduhan-tuduhan yang sedemikian
itu, atau sememangnya mereka suatu kaum yang melampaui batas (dalam keingkaran
dan kedegilannya)?
[33]
(Bukan sahaja mereka
ingkar dan degil) bahkan mereka berkata: "Dia (Muhammad) telah mereka-reka
Al-Quran itu". (Tuduhan mereka yang demikian tidak berasas) bahkan mereka
sengaja tidak mahu beriman!
[34]
(Kalau tidak) maka
hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang fasih dan indah)
seperti Al-Quran itu, jika betul mereka orang-orang yang benar dakwaannya.
[35]
(Mengapa mereka
tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya,
atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?
[36]
Adakah mereka yang
mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang
yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).
[37]
Adakah pada tangan
mereka perbendaharaan Tuhanmu (sehingga mereka boleh memberi atau menahan
sesuatu nikmat atau pangkat), atau merekalah yang berkuasa mentadbirkan
segala-galanya?
[38]
Adakah mereka
mempunyai tangga (untuk naik ke langit), yang dengannya mereka dapat mendengar
(apa yang diperintahkan dan ditetapkan oleh Allah? Jika ada) maka biarlah orang
mereka yang mendengar itu membawa sesuatu bukti yang menyatakan kebenarannya.
[39]
Adilkah (kamu
sediakan) bagi Allah - anak-anak perempuan (yang kamu benci), dan untuk kamu -
anak-anak lelaki (yang kamu sukai)?
[40]
Pernahkah engkau
(wahai Muhammad) meminta sebarang bayaran kepada mereka (mengenai ajaran Islam
yang engkau sampaikan), lalu mereka merasa berat menanggung bayaran itu
(sehingga menjauhkan diri daripada menyahut seruanmu)?
[41]
Adakah pada sisi
mereka (Lauh Mahfuz yang mengandungi) perkara-perkara yang ghaib, lalu mereka
menyalin (daripadanya untuk menentang ajaran dan peringatanmu)?
[42]
(Mereka tidak cukup
dengan kata-kata dan tuduhan-tuduhan yang buruk sahaja) bahkan mereka hendak
melakukan rancangan jahat (terhadapmu wahai Muhammad; tetapi mereka tidak akan
berjaya) kerana orang-orang yang kafir itulah yang akan ditimpa balasan
rancangan jahatnya.
[43]
(Apabila datangnya
balasan rancangan jahat itu maka) adakah bagi mereka Tuhan (yang dapat
menyelamatkan mereka) selain dari Allah? Maha Suci Allah dari apa yang mereka
sekutukan itu.
[44]
Dan kiranya mereka
melihat sepotong besar dari langit gugur (untuk menimpa mereka), mereka akan
berkata: "(Itu adalah) awan yang bertompok - berlapis-lapis!"
[45]
(Kalau keingkaran
dan kedegilan mereka sampai begitu sekali) maka biarkanlah mereka (wahai
Muhammad, dan janganlah dihiraukan) sehingga mereka menemui hari yang padanya
mereka akan binasa -
[46]
(Iaitu) hari segala
rancangan jahat dan tipu daya mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah
kepada mereka, dan mereka pula tidak diberikan pertolongan.
[47]
Sesungguhnya orang-orang
yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain dari azab yang tersebut, akan
tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[48]
Dan (dengan yang
demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh
kepada mereka), kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemuliharaan
serta pengawasan Kami; dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu semasa engkau
bangun.
[49]
Dan juga hendaklah
engkau bertasbih kepadaNya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang
tenggelam (pada waktu subuh).