[7]
(Pada
saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana
ketakutan keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.
[8]
Masing-masing
dengan cepatnya menuju kepada penyeru itu. (Pada saat yang demikian),
orang-orang yang kafir berkata: Hari ini ialah hari yang amat sukar!
[9]
Sebelum mereka, kaum
Nabi Nuh juga telah mendustakan (Rasulnya); iaitu mereka mendustakan hamba Kami
(Nabi Nuh) serta mereka menuduhnya dengan berkata: Dia seorang gila dan dia
telah diancam (dan dihalang daripada menjalankan dakwah agama).
[10]
Lalu dia berdoa
merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ini dikalahkan (oleh
kaumku yang ingkar), oleh itu menangkanlah daku (terhadap mereka)!
[11]
Maka
Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah.
[12]
Dan Kami jadikan
bumi memancarkan mata air-mata air (di
[13]
Dan Kami bawa naik
Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) dari
keping-keping papan dan paku;
[14]
Yang belayar laju
dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami; (Kami melakukan yang demikian dan
menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur ingkar!
[15]
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah jadikan bahtera itu sebagai satu tanda yang menjadi
pengajaran, maka adakah orang yang mahu beringat dan insaf?
[16]
Oleh itu,
perhatikanlah bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu.
[17]
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan
pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran
(daripadanya)?
[18]
(Demikian juga) kaum
Aad telah mendustakan Rasulnya (lalu mereka dibinasakan); maka perhatikanlah,
bagaimana buruknya azabku dan kesan amaran-amaranKu!
[19]
Sesungguhnya Kami telah
menghantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang, pada hari nahas yang
berlanjutan; -
[20]
Yang menumbangkan
manusia gugur bergelimpangan, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang
terbongkar.
[21]
Maka perhatikanlah,
bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu!
[22]
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran,
maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?
[23]
(Demikian juga) kaum
Thamud telah mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan oleh Rasul
mereka, Nabi Soleh).
[24]
Lalu mereka berkata:
Patutkah kita menurut manusia dari jenis kita, lagi yang berseorangan? Jika
demikian, sesungguhnya kita berada dalam keadaan sesat dan gila!
[25]
Tidaklah patut wahyu
peringatan itu diturunkan kepadanya (padahal orang-orang yang lebih layak ada)
di antara kita. Bahkan dialah seorang pendusta, lagi sombong angkuh.
[26]
Mereka akan
mengetahui kelak siapakah orangnya yang pendusta, lagi sombong angkuh itu.
[27]
Sesungguhnya Kami
menghantarkan unta betina (yang menjadi mukjizat) sebagai satu ujian bagi
mereka. Lalu (Kami perintahkan Rasul Kami): Tunggulah (apakah yang mereka akan
lakukan) serta bersabarlah (terhadap tentangan mereka).