[12]
Wahai orang-orang
yang beriman! Apabila kamu hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu kepada
Rasulullah, maka hendaklah kamu bersedekah (kepada fakir miskin) sebelum kamu
mengadapnya; (pemberian sedekah) itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih
bersih. Dalam pada itu, kalau kamu tidak ada benda yang hendak disedekahkan,
(kamu dibenarkan juga mengadapnya mengenai perkara yang tak dapat dielak),
kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[13]
Adakah kamu takut
(akan kemiskinan) kerana kerap kali kamu memberi sedekah sebelum kamu mengadap?
Kalau kamu tidak melakukan (perintah) itu, dan Allah pun memaafkan kamu (kerana
kamu tidak mampu), maka dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat (sebagaimana
yang sewajibnya), serta taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Dan (ingatlah),
Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan segala amalan yang kamu lakukan.
[14]
Tidakkah engkau
melihat (bagaimana jahatnya) orang-orang yang bersahabat karib dengan kaum yang
telah dimurkai Allah (dengan sebab kekufuran dan khianatnya)? Mereka itu
bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum yang tersebut itu
(kerana mereka ialah golongan munafik); dan lagi mereka selalu bersumpah dengan
dusta, sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).
[15]
Allah telah
menyediakan bagi mereka azab seksa yang berat; sesungguhnya amatlah buruk apa
yang mereka telah lakukan.
[16]
Mereka menjadikan
sumpahnya sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya daripada
dirampas atau dibunuh), maka dengan yang demikian dapatlah mereka menghalang
(dirinya dan orang lain) dari jalan Allah; oleh itu mereka beroleh azab seksa
yang menghina.
[17]
harta benda mereka
dan anak pinak mereka tidak sekali-kali akan dapat memberikan sebarang
pertolongan kepada mereka dari azab Allah. Merekalah ahli neraka, mereka tetap
kekal di dalamnya.
[18]
(Setelah nyata
kepada orang-orang munafik itu bahawa harta benda dan anak pinaknya tidak dapat
memberikan pertolongan), ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah (pada
hari kiamat), maka mereka bersumpah kepadaNya (bahawa mereka adalah orang-orang
mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada kamu; dan mereka menyangka
bahawa (dengan berbuat demikian) mereka akan mendapat sesuatu (yang berfaedah
kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya merekalah golongan pendusta.
[19]
Syaitan telah
menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati
(ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak
Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi.
[20]
Sesungguhnya
orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka termasuk dalam
golongan yang amat hina.
[21]
Allah telah
menetapkan: "Sesungguhnya Aku dan Rasul-rasulKu tetap mengalahkan
(golongan yang menentang) ". Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha
kuasa.