[10]
Dan orang-orang
(Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata:
"Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa
saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau
jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang
beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat
Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".
[11]
Tidakkah
engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang
munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari
kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: "Sesungguhnya, kalau kamu dihalau
keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami tidak akan
tunduk taat kepada sesiapapun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan kalau
kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!" Padahal
Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta.
[12]
Demi sesungguhnya!
Jika orang-orang (Yahudi) itu dihalau keluar (dari Madinah), mereka (yang
munafik) ini tidak akan keluar bersama-samanya; dan demi sesungguhnya, jika
orang-orang (Yahudi) itu diperangi, mereka (yang munafik) ini tidak akan
membelanya; dan demi sesungguhnya, jika ditakdirkan mereka membelanya
sekalipun, sudah tentu mereka (semuanya - Yahudi dan munafik) akan melarikan
diri; kemudian mereka tidak akan mendapat pertolongan, -
[13]
(Kerana) sesungguhnya
kamu - dalam hati mereka, - sangat ditakuti lebih dari Allah; yang demikian
itu, kerana mereka ialah kaum yang tidak memgerti (akan
kekuasaan Allah dan kebesaranNya).
[14]
(Orang-orang
Yahudi dan orang-orang munafik) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak
berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau
dari sebalik tembok. (Sebabnya): permusuhan di antara mereka sesama sendiri
amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka
berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang
demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang
sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka).
[15]
(Keadaan kaum Yahudi
itu) samalah seperti orang-orang (dari suku Yahudi) yang terdahulu sedikit dari
mereka, yang telah merasai akibat yang buruk (di dunia) dengan sebab bawaan
kufur mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa
yang tidak terperi sakitnya (pada hari akhirat kelak).
[16]
(Sikap kaum munafik
dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: "Berlaku kufurlah
engkau!" Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab),
berkatalah Syaitan kepadanya: "Sesungguhnya aku adalah berlepas diri
daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang menguasai
seluruh alam!"