[38]
Ketika itu Nabi
Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik;
sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan".
[39]
Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di
Mihrab, (katanya): "Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu,
dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman
kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri
dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang
soleh".
[40]
Nabi Zakaria
berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak,
padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?",
Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang
dikehendakiNya".
[41]
Nabi Zakaria berkata
lagi: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang
menunjukkan isteriku mengandung)". Allah berfirman: "Tandamu
itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan
orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja; dan
ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah
memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu
pagi".
[42]
Dan (ingatlah wahai
Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah
memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi
perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).
[43]
"Wahai Maryam!
Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang)
bersama-sama orang-orang yang rukuk ".
[44]
Peristiwa yang
demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu
(wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka
mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka
yang akan memelihara Maryam. Dan
engkau juga (wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka
berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam).
[45]
(Ingatlah) ketika
malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang
mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah,
nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan
di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di
sisi Allah).