[10]
Dan orang-orang yang
kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli neraka,
kekalah mereka di dalamnya; dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
[11]
Tidak ada kesusahan
(atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan
sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima
apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[12]
Dan taatlah kamu kepada
Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling (enggan taat,
kamulah yang akan menderita balasannya yang buruk), kerana sesungguhnya
kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas
nyata.
[13]
Allah, tiada Tuhan
melainkan Dia; dan dengan yang demikian, kepada Allah jualah orang-orang yang
beriman wajib berserah diri.
[14]
Wahai orang-orang
yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu
yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu
terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta
mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu),
kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[15]
Sesungguhnya harta
benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah
jualah pahala yang besar.
[16]
Oleh itu bertaqwalah
kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan
pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan
belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan
(ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi
oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
[17]
Dan kalau kamu
memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya
Allah akan melipat gandakan balasanNya kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa
kamu; dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang
berbuat baik, lagi Maha Penyabar (untuk memberi peluang kepada golongan yang
bersalah supaya bertaubat).
[18]
Dia lah yang
mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dia lah jua) yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.