At-Tallaq
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan umatmu) - hendak menceraikan isteri-isteri
(kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan
hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan
kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari
rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula
(dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan
perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka
janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum
Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada
dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi
Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara
(yang lain).
[2]
Kemudian, apabila
mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk)
dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan
cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa
kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi)
menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang
tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan
mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara
yang menyusahkannya),
[3]
Serta
memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah
diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan
menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala
perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
[4]
Dan
perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid,
jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga
bulan; dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan
perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan
anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang
bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.
[5]
Peraturan-peraturan
yang demikian adalah hukum-hukum Allah yang diturunkan dan diterangkanNya
kepada kamu; dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah
menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan
membesarkan pahala balasannya.