At-Tahriim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Wahai Nabi! Mengapa
engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang
dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan
isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu
itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[2]
Sesungguhnya Allah
telah menetapkan bagi kamu (wahai Nabi dan umatmu, untuk) melepaskan diri dari
sumpah kamu (dengan membayar denda - kaffarah); dan Allah ialah Pelindung yang
mentadbirkan keadaan kamu, dan Ia Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana.
[3]
Dan
(ingatlah), ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah
seorang dari isteri-isterinya. Kemudian apabila isterinya itu menceritakan rahsia yang
tersebut (kepada seorang madunya), dan Allah menyatakan pembukaan rahsia itu
kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya
sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang
sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya). Setelah Nabi
menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya: "Siapakah yang
memberi tahu hal ini kepada tuan? " Nabi
menjawab: "Aku diberitahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Amat
Mendalam PengetahuanNya (tentang segala perkara yang nyata dan yang
tersembunyi) ".
[4]
Jika kamu berdua
bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya),
kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang
menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan
sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya)
kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta
orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan
malaikat-malaikat - juga menjadi penolongnya.
[5]
Boleh jadi, jika
Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan
baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, - yang menurut perintah,
yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang
berpuasa, - (meliputi) yang janda dan yang anak dara.
[6]
Wahai orang-orang
yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan
bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh
malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada
Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap
melakukan segala yang diperintahkan.
[7]
Malaikat itu akan berkata kepada orang-orang yang dimasukkan ke dalam
neraka): "Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan
uzur (dengan meminta ampun) pada hari ini, (kerana masanya telah terlambat). Kamu hanyalah dibalas dengan balasan apa yang kamu telah
kerjakan".