[48]
Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan
(kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.
[49]
(Kalau demikianlah
halnya orang-orang yang bersalah), maka mengapa mereka berpaling lari dari
peringatan (Al-Quran) ?
[50]
Seolah-olah mereka
sekawan keldai liar yang lari,
[51]
Melarikan diri
(ketakutan) dari singa!
[52]
(Mereka tidak merasa
cukup dengan peringatan itu) bahkan tiap-tiap seorang di antaranya mahu supaya
diberi kepadanya lembaran
[53]
Sebenarnya! (Bukan
kerana kemahuan mereka tidak berhasil), bahkan mereka (tidak percaya dan) tidak
takut akan hari akhirat.
[54]
Ketahuilah!
Sesungguhnya Al-Quran itu adalah satu peringatan (yang sangat besar
pengajarannya);
[55]
Oleh itu sesiapa
yang mahu (beringat) dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya.
[56]
Dan
(dalam pada itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki
Allah; Dia lah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya, dan Dia lah jua yang
berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat).
Al-Qiaamah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Aku bersumpah dengan
Hari Kiamat;
[2]
Dan Aku bersumpah
dengan "Nafsul Lawwaamah" (Bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah
mati)!
[3]
Patutkah manusia (yang
kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya
(dan menghidupkannya semula)?
[4]
Bukan sebagaimana
yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala
tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain).
[5]
(Kebenaran itu bukan
tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak
meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga ia
tidak mengakui adanya hari kiamat).
[6]
Dia bertanya (secara
mengejek): "Bilakah datangnya hari kiamat itu?"
[7]
Maka (jawabnya: hari
kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun
takut),
[8]
Dan bulan hilang
cahayanya,
[9]
Dan matahari serta
bulan dihimpunkan bersama,
[10]
(Maka) pada hari itu,
berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): "Ke manakah hendak
melarikan diri?"
[11]
Tak usahlah bertanya
demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan!
[12]
Pada hari itu,
kepada Tuhanmu lah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara.
[13]
Pada hari itu,
manusia diberitahu akan apa yang ia telah lakukan, dan apa yang ia telah
tinggalkan.
[14]
Bahkan manusia itu,
(anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,
[15]
Walaupun ia
memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).
[16]
Janganlah engkau
(wahai Muhammad) - Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan
kepadamu - menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan
kepadamu).
[17]
Sesungguhnya Kamilah
yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan
bacaannya (pada lidahmu);
[18]
Oleh itu, apabila
Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka
bacalah menurut bacaannya itu;
[19]
Kemudian,
sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan
penjelasan).