Al-Infitaar
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Apabila langit
terbelah;
[2]
Dan apabila bintang-bintang
gugur bertaburan;
[3]
Dan apabila lautan
pecah bercampur-baur;
[4]
Dan apabila
kubur-kubur dibongkarkan, -
[5]
(Setelah semuanya
itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang
telah dikerjakan dan ditinggalkannya.
[6]
Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu - (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang
Maha Pemurah? -
[7]
Tuhan yang telah
mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan
tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh
badanmu) sama padan dengan kekuatannya;
[8]
Dalam bentuk dan
rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun
kejadianmu.
[9]
Sebenarnya tidak ada
yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! Bahkan
kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan.
[10]
Padahal
sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan
kamu,
[11]
(Mereka adalah
makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu);
[12]
Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.
[13]
(Gunanya catitan
malaikat-malaikat itu ialah: untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa
yang bersalah) - kerana sesungguhnya: orang-orang yang
berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh
nikmat;
[14]
Dan
sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang
menjulang-julang.
[15]
Mereka menderita
bakaran neraka itu pada hari pembalasan,
[16]
Dan
mereka (sentiasa berada dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya.
[17]
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari
pembalasan itu?
[18]
Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari
pembalasan itu?
[19]
(Hari itu ialah)
hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain, dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.
Al-Mutaffifiin
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Kecelakaan besar
bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan),
[2]
Iaitu mereka yang apabila
menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan
cukup,
[3]
Dan (sebaliknya)
apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain,
mereka kurangi.
[4]
Tidakkah mereka
menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula
sesudah mati)?
[5]
Pada hari (kiamat)
yang amat besar (huru-haranya),
[6]
Hari
berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam?