[71]
Wahai Ahli Kitab!
Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula
menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?
[72]
Dan berkatalah
segolongan dari Ahli Kitab (sesama sendiri): "Berimanlah kamu kepada
Al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah
pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu,
lalu) kembali menjadi kafir semula".
[73]
Dan (mereka berkata
lagi): "Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut
ugama kamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya petunjuk yang
sebenar benarnya ialah petunjuk Allah". (Mereka berkata pula:
"Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa
yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu
di sisi Tuhan kamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya
limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi
pengetahuanNya.
[74]
Allah
menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan
(ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.
[75]
Dan di antara Ahli
Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta
sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna)
kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan
sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu
menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada
jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula
selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka
adalah berdusta).
[76]
Bahkan (mereka
berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya
(mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang bertaqwa.
[77]
Sesungguhnya
orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak
janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian
yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka
dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan
mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.