An-Nisaa'
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Wahai sekalian
manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan
kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam)
itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya -
zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan
bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut
namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana
sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
[2]
Dan
berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan
janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu
makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya
(yang demikian) itu adalah dosa yang besar.
[3]
Dan jika kamu takut
tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin
dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari
perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang
tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu)
maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba
perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih
dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.
[4]
Dan
berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai
pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan
kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian
(yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
[5]
Dan janganlah kamu
berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang
Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan
kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang
kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
[6]
Dan
ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur
(dewasa).
Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda
yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya,
maka serahkanlah kepada mereka hartanya; dan janganlah kamu makan harta
anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru
(merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga
harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia
menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia
memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan
kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang
menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan).