[27]
Dan Allah hendak
(membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang
(yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu)
hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan
penyelewengan yang besar bahayanya.
[28]
Allah (sentiasa)
hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan
berkeadaan lemah.
[29]
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu
dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan
perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah
kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani
kamu.
[30]
Dan sesiapa berbuat
demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api
neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada
sesiapapun yang dapat menghalangnya).
[31]
Jika kamu menjauhkan
dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan
kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat
yang mulia (syurga).
[32]
Dan janganlah kamu
terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan
kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang
lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana
telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan
orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka
berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya.
Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[33]
Dan bagi tiap-tiap
(lelaki dan perempuan yang telah mati), kami telah tetapkan orang-orang yang
berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat. Dan mana-mana
orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk bantu-membantu
dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya.
Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.