[102]
Dan apabila engkau
(wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau
mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari
mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka
menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka
hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan
hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana
menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah)
bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta
menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai
lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat
menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa
meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan
disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga.
Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir
itu azab seksa yang amat menghina.
[103]
Kemudian apabila
kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan
mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.
Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka
dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan
atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
[104]
Dan janganlah kamu
lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau
kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita
sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada
hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana.
[105]
Sesungguhnya Kami
menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran,
supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa
yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau
menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.