Part 16
[75]
Ia menjawab:
"Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali
akan dapat bersabar bersamaku?"
[76]
Nabi Musa berkata:
"Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka
janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup
mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan
bantahanku".
[77]
Kemudian keduanya berjalan
lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka
meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu
mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu
ia membinanya. Nabi Musa berkata: "Jika engkau mahu, tentulah engkau
berhak mengambil upah mengenainya!"
[78]
Ia menjawab:
"Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu
maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar
mengenainya.
[79]
Adapun perahu itu
adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku
bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti
ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.
[80]
Adapun pemuda itu,
kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia
akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.
[81]
Oleh itu, kami ingin
dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik
daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.
[82]
Adapun tembok itu
pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di
bawahnya ada "harta terpendam" kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula
adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan
dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari
Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut
fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan
perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".
[83]
Dan mereka bertanya
kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: "Aku akan
bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang
perihalnya":
[84]
Sesungguhnya Kami
telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri
kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.
[85]
Lalu ia menurut
jalan (yang menyampaikan maksudnya).
[86]
Sehingga apabila ia
sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair
yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar).
Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): "Wahai Zulkarnain! Pilihlah
sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik
terhadap mereka".
[87]
Ia berkata:
"Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan
menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya
dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.
[88]
Adapun orang yang
beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami
akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati".
[89]
Kemudian ia berpatah
balik menurut jalan yang lain.
[90]
Sehingga apabila ia
sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang
kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.
[91]
Demikianlah halnya; dan
sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.
[92]
kemudian ia berpatah
balik menurut jalan yang lain.
[93]
Sehingga apabila ia
sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir
mereka tidak dapat memahami perkataan.
[94]
Mereka berkata:
"wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan
kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran
kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah
tembok di antara kami dengan mereka?"
[95]
Dia menjawab:
"(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih
baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu
beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup
yang kukuh.
[96]
Bawalah kepadaku
ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup
lapangan antara dua gunung itu, ddia pun perintahkan mereka membakarnya dengan
berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia
menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga
cair supaya aku tuangkan atasnya".
[97]
Maka mereka tidak
dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.
[98]
(Setelah itu)
berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada
itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur,
dan adalah janji Tuhanku itu benar".
[99]
Dan Kami biarkan
mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan
yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan
makhluk-makhluk seluruhnya di
[100]
Dan Kami perlihatkan
neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang
jelas nyata;
[101]
(Iaitu) orang-orang
yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda yang membawa kepada
mengingatiKu, dan mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.
[102]
Maka adakah
orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai
makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka?
Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu
sebagai tempat tetamu.
[103]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang
paling rugi amal-amal perbuatannya?
[104]
(Iaitu) orang-orang
yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka
menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka
lakukan".
[105]
Merekalah
orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan
denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan
memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.
[106]
(Mereka yang bersifat)
demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan
mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.
[107]
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga
Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).
[108]
Mereka kekal di
dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.
[109]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis
Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis
Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang
sebanding dengannya, sebagai bantuan".
[110]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu,
diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu,
sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia
mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam
ibadatnya kepada Tuhannya".
Maryam
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Kaaf, Haa, Yaa, Ain,
Saad
[2]
(Ini ialah) perihal
limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.
[3]
(Ingatkanlah
peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan
secara perlahan.
[4]
Ia merayu dengan
berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah
putih melepaklah uban kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa
hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.
[5]
Dan sesungguhnya aku
merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama
sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu,
kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.
[6]
Yang layak mewarisi
daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia - wahai Tuhanku
seorang yang diredhai serta disukai".
[7]
(Nabi Zakaria diseru
setelah dikabulkan doanya):"Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar
yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya,
yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama
dengannya".
[8]
Nabi Zakaria
bertanya: "Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang
anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah
sampai had umur yang setua-tuanya?"
[9]
Penyeru itu
menjawab: Demikian keadaannya - janganlah dihairankan; Tuhanmu berfirman;
"Hal itu mudah bagiKu kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu,
sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang apapun."
[10]
Nabi Zakaria merayu
lagi: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah satu tanda bagiku (yang menunjukkan
isteriku mengandung)", Allah Taala berfirman: " Tandamu itu ialah
engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam,
sedang engkau dalam keadaan sihat".
[11]
Maka dia pun keluar
mendapatkan kaumnya dari Mihrab (tempat sembahyangnya), lalu ia memberi isyarat
kepada mereka: "Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan ibadat kepada Allah)
pagi dan petang".
[12]
"Wahai Yahya,
terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami
berikan kepadanya Hikmat kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak.
[13]
dan (Kami mengurniakannya)
rahmat dari sisi Kami, serta kelebihan yang kembang manfaatnya; dan ia seorang
yang bertaqwa.
[14]
Dan ia taat serta
berbuat baik kepada ibu bapanya, dan ia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.
[15]
Dan (Kami limpahkan)
kepadanya selamat sejahtera pada hari ia diperanakkan, dan pada hari ia mati,
serta pada hari ia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).
[16]
Dan bacakanlah
(wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia
memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.
[17]
Kemudian Maryam
membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan
kepadanya: Roh dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki
yang sempurna bentuk kejadiannya.
[18]
Maryam berkata:
Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu
kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.
[19]
Ia berkata:
"Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang
anak yang suci".
[20]
Maryam bertanya
(dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku
tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan
jahat?"
[21]
Ia menjawab:
"Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu
mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda
(yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat
dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.
[22]
Maka Maryam hamilah
mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah
tempat yang jauh.
[23]
(Ketika ia hendak
bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal
sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati
sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak
dikenang-kenang!
[24]
Lalu ia diseru dari
sebelah bawahnya:" Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam),
sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.
[25]
Dan gegarlah ke
arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.
[26]
"Maka makanlah
dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian
kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku
bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang
demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan
manusia pada hari ini".
[27]
Kemudian baliklah ia
kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun menempelaknya dengan
berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang
besar salahnya!
[28]
" Wahai saudara
perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula
bukanlah seorang perempuan jahat!"
[29]
Maka Maryam segera
menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): "Bagaimana
kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam
buaian?"
[30]
Ia menjawab:"
Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil),
dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi.
[31]
Dan Ia menjadikan
daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku
mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.
[32]
" Serta
(diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak
menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.
[33]
Dan segala
keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan
dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada
hari kiamat)".
[34]
Yang demikian
sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah
keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan
padanya.
[35]
Tiadalah layak bagi
Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia. Apabila menetapkan jadinya sesuatu
perkara, maka hanyalah Ia berfirman kepadanya: "Jadilah engkau", lalu
menjadilah ia.
[36]
Dan sesungguhnya
Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia inilah jalan
yang betul - lurus ".
[37]
Kemudian,
golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka
kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang
disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.
[38]
Sungguh jelas
pendengaran dan penglihatan mereka yang kafir itu semasa mereka datang mengadap
Kami pada hari akhirat. Tetapi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan kufur
dan maksiat) pada masa di dunia ini, berada dalam kesesatan yang nyata
[39]
Dan berilah amaran
(wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu
hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang
ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu
beriman.
[40]
Sesungguhnya Kamilah
yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah
mereka akan dikembalikan.
[41]
Dan bacakanlah
(wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim;
sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.
[42]
Ketika ia berkata kepada
bapanya:" Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar
dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?
[43]
" Wahai ayahku,
sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah
datang kepadamu oleh itu ikutlah daku; aku akan memimpinmu ke jalan yang betul.
[44]
" Wahai ayahku,
janganlah ayah menyembah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka
kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.
[45]
" Wahai ayahku,
sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman
disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah
ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka".
[46]
(Bapanya) menjawab:
"Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya
jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku
akan meluntarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku
sepanjang masa".
[47]
Nabi Ibrahim
berkata: " Selamat tinggalah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku
mengampuni dosamu; sesungguhnya Ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya
kepadaku.
[48]
Dan aku akan membawa
diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah;
dan aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas; mudah-mudahan aku dengan
ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan derhaka seperti
kamu)".
[49]
Maka apabila ia
berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah
kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya); dan
kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi.
[50]
Dan Kami kurniakan
kepada mereka dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian
yang tinggi dalam kalangan umat manusia.
[51]
Dan bacakanlah (wahai
Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya ia
adalah orang pilihan, dan adalah ia seorang Rasul, lagi Nabi.
[52]
Dan Kami telah
menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami dampingkan dia
dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami.
[53]
Dan Kami kurniakan
kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya: Harun, yang juga berpangkat Nabi.
[54]
Dan bacakanlah
(wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail;
sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi
berpangkat Nabi.
[55]
Dan adalah ia
menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula
adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!
[56]
Dan bacakanlah (wahai
Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah
ia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta ia seorang Nabi.
[57]
Dan Kami telah
mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.
[58]
Mereka itulah
sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang
melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan
orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari
keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari
orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan
kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.
[59]
Kemudian mereka
digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut
hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam
neraka),
[60]
Kecuali orang-orang
yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk
Syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun, -
[61]
(Iaitu) Syurga
" Adn " yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada
hamba-hambaNya disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib;
sesungguhnya Tuhan itu, janjiNya tetap berlaku.
[62]
Mereka tidak akan
mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar
perkataan yang baik-baik; dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya,
pagi dan petang (sepanjang masa).
[63]
Itulah taman Syurga
yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa
dari hamba-hamba Kami.
[64]
Dan (berkatalah
malaikat): "Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan dengan
perintah Tuhanmu (wahai Muhammad); Dia lah jua yang menguasai serta
mentadbirkan apa yang di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa
yang di antara itu; dan tiadalah Tuhanmu itu lupa, -
[65]
"Tuhan yang
mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara
keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap
dalam beribadat kepadaNya; adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan
sebanding denganNya?"
[66]
Dan manusia (yang
kafir) berkata: "Apa! Apabila aku mati, adakah aku akan dibangkitkan hidup
semula?"
[67]
Patutkah manusia itu
berkata demikian dan tidak memikirkan bahawa Kami telah menciptakan dia dahulu
sedang ia pada masa itu belum ada sebarang apapun?
[68]
Oleh itu, demi
Tuhanmu (wahai Muhammad)! Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka yang kafir
itu beserta syaitan-syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka
duduk berlutut di keliling neraka Jahannam.
[69]
Sesudah itu,
sesungguhnya kami akan cabut dari tiap-tiap golongan, mana-mana orang yang
sangat derhaka kepada (Allah) Ar-Rahman, di antara mereka.
[70]
Kemudian,
sesungguhnya Kami lebih mengetahui akan orang-orang yang lebih patut diseksa
dan dibakar dangan api neraka itu.
[71]
Dan tiada seorangpun
di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu
perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.
[72]
Kemudian Kami akan
selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang
zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka
itu.
[73]
Dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang
yang kafir kepada orang-orang yang beriman: "Puak yang manakah (dari kami
dan kamu) yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih elok majlis
perhimpunannya?
[74]
Dan berapa banyak
kaum-kaum (yang ingkar) sebelum mereka, kami telah binasakan, sedang mereka
lebih elok alat-alat kesenangannya dan lebih elok keadaannya pada pandangan
mata.
[75]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah)
Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka
melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, - sama ada azab sengsara dunia
ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah
orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya."
[76]
Dan Allah akan
menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk; dan
amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan
pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.
[77]
Maka tidakkah engkau
merasa hairan memikirkan (wahai Muhammad), akan orang yang kufur ingkar kepada
ayat-ayat keterangan Kami serta ia berkata: "Demi sesungguhnya aku akan
diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat?"
[78]
Adakah ia telah
mengetahui akan perkara yang ghaib, atau adakah ia telah membuat perjanjian
dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya?
[79]
Tidak sekali-kali!
Kami akan menulis apa yang dikatakannya, dan Kami akan tambahi baginya dari
azab seksa, berganda-ganda.
[80]
Dan Kami akan warisi
(harta benda dan anak-pinak) yang dikatakannya itu, dan ia akan datang kepada
kami dengan seorang diri.
[81]
Dan mereka yang
kafir menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya
benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi
kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.
[82]
Tidak sekali-kali!
Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka
menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.
[83]
Tidakkah engkau mengetahui
(Wahai Muhammad) bahawa Kami telah menghantarkan Syaitan-syaitan kepada
orang-orang kafir, untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan
maksiat dengan bersungguh-sungguh?
[84]
Oleh itu, janganlah
engkau segera marah terhadap mereka yang ingkar itu, kerana sesungguhnya kami
hanya menghitung hari yang sedikit sahaja bilangannya untuk mereka.
[85]
(Ingatlah) hari Kami
himpunkan orang-orang yang bertaqwa untuk mengadap (Allah) Ar-Rahman, dengan
berpasuk-pasukan.
[86]
Dan Kami akan
menghalau orang-orang yang bersalah ke neraka Jahannam, dalam keadaan dahaga.
[87]
Mereka tidak berhak
mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian
(dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah
rahmatNya!.
[88]
Dan mereka yang
kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak."
[89]
Demi sesungguhnya,
kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!
[90]
Langit nyaris-nyaris
pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris
terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, -
[91]
Kerana mereka
mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.
[92]
Padahal tiadalah
layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Ia mempunyai anak.
[93]
Tidak ada sesiapapun
di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman,
sebagai hamba.
[94]
Demi sesungguhnya!
Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu
persatu.
[95]
Dan mereka masing-masing
akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.
[96]
. Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah
rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih
sayang.
[97]
Maka sesungguhnya
Kami memudahkan turunnya Al-Quran ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah
supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang
bertaqwa, dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil
dalam kekufurannya.
[98]
Dan amatlah
banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka; engkau
tidak menyedari ataupun mendengar suara yang sayup bagi seseorangpun dari
orang-orang yang telah dibinasakan itu.
Taha
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Taa' Haa.
[2]
Kami tidak
menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung
kesusahan.
[3]
Hanya untuk menjadi
peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah. Allah
[4]
(Al-Quran)
diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
[5]
Iaitu (Allah)
Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.
[6]
Dia lah jua yang
memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di
antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi.
[7]
Dan jika engkau
menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah
perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang
tersembunyi.
[8]
Allah! Tiada Tuhan
yang berhak disembah melainkan Dia, bagiNyalah segala nama yang baik.
[9]
Dan sudahkah sampai
kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa?
[10]
Ketika ia melihat
api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: "Berhentilah! Sesungguhnya aku
ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya,
atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalan.
[11]
Maka apabila ia
sampai ke tempat api itu (kedengaran) ia diseru: "Wahai Musa! " -
[12]
"Sesungguhnya
Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa
yang suci.
[13]
"Dan Aku telah
memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu.
[14]
"Sesungguhnya
Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah
sembahyang untuk mengingati Daku.
[15]
"Sesungguhnya
hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya
- supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan.
[16]
"Maka janganlah
engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman
kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa.
[17]
"Dan apa
(bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?"
[18]
Nabi Musa menjawab:
"Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku
memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada
lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu".
[19]
Allah Taala
berfirman: "Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!"
[20]
Lalu ia
mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang
bergerak menjalar.
[21]
Allah berfirman:
"Tangkaplah akan dia, dan janganlah engkau takut, Kami akan
mengembalikannya kepada keadaannya yang asal.
[22]
"Dan kepitlah tanganmu
di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada
cacat; sebagai satu mukjizat yang lain.
[23]
"(Berlakunya
yang demikian itu) kerana Kami hendak memperlihatkan kepadamu sebahagian dari
tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar.
[24]
"Pergilah
kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas".
[25]
Nabi Musa berdoa
dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;
[26]
"Dan
mudahkanlah bagiku, tugasku;
[27]
"Dan
lepaskanlah simpulan dari lidahku,
[28]
"Supaya mereka
faham perkataanku;
[29]
"Dan jadikanlah
bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.
[30]
"Iaitu Harun
saudaraku;
[31]
"Kuatkanlah
dengan sokongannya, pendirianku,
[32]
"Dan jadikanlah
dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku,
[33]
"Supaya kami
sentiasa beribadat dan memujiMu,
[34]
"Dan (supaya)
kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu;
[35]
"Sesungguhnya
Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami".
[36]
Allah berfirman:
"Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai
Musa!
[37]
"Dan demi
sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu
masa yang lain sebelum ini.
[38]
"Ketika Kami ilhamkan
kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:
[39]
"Letakkanlah
anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut
itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya;
dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu;
dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.
[40]
"Ketika saudara
perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang-orang yang
memungutmu:" Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh
memeliharanya?" Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu
supaya tenang hatinya dan supaya ia tidak berdukacita kerana bercerai denganmu;
dan semasa engkau membunuh seorang lelaki, lalu Kami selamatkan engkau dari
kesusahan pembunuhan itu; dan Kami telah melepaskan engkau berkali-kali dari
berbagai-bagai cubaan; kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun
dalam kalangan penduduk negeri Madyan; setelah itu engkau sekarang datang dari
sana pada masa yang telah ditentukan, wahai Musa!
[41]
"Dan Aku telah
memilihmu untuk menjadi RasulKu.
[42]
"Pergilah,
engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat pengurniaanKu dan janganlah
kamu berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta mengingati Daku.
[43]
"Pergilah kamu
berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.
[44]
"Kemudian
hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia
beringat atau takut".
[45]
Mereka berdua
berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan segera
menyeksa kami, atau ia akan melampau batas".
[46]
Allah berfirman:
"Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku
mendengar dan melihat segala-galanya.
[47]
"Oleh itu,
pergilah kamu berdua kepadanya, kemudian katakanlah: "Bahawa sesungguhnya
kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut
kami, dan janganlah engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang
kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera itu
adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk ugama Allah.
[48]
"Sesungguhnya
telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa di dunia dan di akhirat
ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling
daripadanya".
[49]
(Setelah mereka
menyampaikan perintah Allah itu), Firaun berkata: "Jika demikian, siapakah
Tuhan kamu berdua, hai Musa?"
[50]
Nabi Musa menjawab:
"Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian
semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya
akan cara menggunakannya".
[51]
Firaun bertanya
lagi: "Jika demikian, bagaimana pula keadaan kaum-kaum yang telah
lalu?"
[52]
Nabi Musa menjawab:
"Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku, tertulis di dalam sebuah
Kitab; Tuhanku tidak pernah keliru dan Ia juga tidak pernah lupa".
[53]
(Dia lah Tuhan) yang
telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi
kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Ia juga telah menurunkan hujan dari
langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan
yang berlainan keadaannya.
[54]
Makanlah kamu
daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu; sesungguhnya
semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi
orang-orang yang berakal fikiran.
[55]
Dari bumilah Kami
ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya
pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.
[56]
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah tunjukkan kepada Firaun segala tanda-tanda yang
membukti kekuasaan Kami; dalam pada itu ia mendustakannya dan enggan beriman.
[57]
Firaun berkata:
"Patutkah engkau datang kepada kami untuk mengeluarkan kami dari negeri
kami dengan sihirmu, hai Musa?
[58]
"Kalau
demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan kepadamu sihir yang seperti itu
untuk melawanmu! Maka tentukanlah suatu tempoh pertemuan antara kami denganmu,
yang kita bersama tidak akan memungkirinya, di suatu tempat yang sesuai bagi
kedua belah pihak".
[59]
Nabi Musa menjawab:
"Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan
hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha".
[60]
Maka Firaun pun
berangkat dari majlis itu. Ia mengumpulkan ahli-ahli sihir untuk menjalankan tipu-dayanya,
kemudian ia datang ke tempat perlawanan.
[61]
Nabi Musa berkata
kepada mereka: "Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa secara dusta
terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Ia akan membinasakan kamu dengan azab
seksa; dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan kecewa".
[62]
Maka merekapun
berbantahan dan berunding sesama sendiri mengenai perkara sihir mereka, dan
mereka rahsiakan apa yang mereka rundingkan.
[63]
Mereka berkata:
"Dua orang ini, sebenarnya dua ahli sihir yang bertujuan hendak
mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihir mereka, dan hendak melenyapkan
kepercayaan serta adat peraturan kamu yang utama.
[64]
"Oleh itu,
satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah beramai-ramai dalam satu
barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya beruntunglah orang yang menang
pada hari ini".
[65]
Mereka berkata:
"Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah yang
mula-mula mencampak?"
[66]
Nabi Musa menjawab:
"Bahkan kamulah campak dahulu". Tiba-tiba tali-tali mereka dan
tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda
berjalan, disebabkan sihir mereka.
[67]
Maka yang demikian
menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.
[68]
Kami berfirman
kepadanya: "Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah
yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.
[69]
"Dan
campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala
(benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka
lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan
beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada".
[70]
(Nabi Musa pun
mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka
keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri
sujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun
dan Nabi Musa".
[71]
Firaun berkata:
"Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu?
Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi
sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku
akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu
akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya
dan lebih kekal".
[72]
Mereka menjawab:
"Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang
kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan
mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu,
hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau
hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.
[73]
"Sesungguhnya
kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan
kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah
jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya.
[74]
"Sebenarnya
sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia bersalah maka
sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan
tidak pula hidup.
[75]
"Dan sesiapa
yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal
yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi
darjatnya:
[76]
"(Iaitu)
Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal
di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan
dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat".
[77]
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah engkau
membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar memgembara pada waktu malam, kemudian
pukulah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi
mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh
musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam".
[78]
Maka Firaun pun
mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia dan orang-orangnya
diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang
sedahsyat-dahsyatnya.
[79]
Dan dengan itu
Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan, dan tidaklah ia
membawa mereka ke jalan yang benar.
[80]
Wahai Bani lsrail!
Sesungguhnya Kami telah selamatkan kamu dari musuh kamu, dan Kami telah janjikan
kamu (dengan memberi wahyu kepada Nabi Musa) di sebelah kanan Gunung Tursina
itu, dan kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa",
[81]
Serta Kami katakan:
Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah
kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa
kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah
ia.
[82]
Dan sesungguhnya Aku
yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan
beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan
kepadanya.
[83]
Dan apakah yang
menyebabkan engkau segera datang ke mari lebih dahulu dari kaum engkau wahai
Musa?.
[84]
Nabi Musa menjawab:
"Mereka itu ada mengiringi daku tidak jauh dari sini; dan aku segera
datang kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Engkau reda akan daku".
[85]
(Setelah selesainya
urusan itu) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa: "Sesungguhnya Kami
telah mengenakan kaummu satu fitnah ujian sepeninggalanmu, dan mereka telah
disesatkan oleh Samiri"
[86]
Maka kembalilah Nabi
Musa kepada kaumnya dengan perasaan marah dan dukacita; ia berkata: "Wahai
kaumku! Bukankah Tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan satu perjanjian yang
baik? Patutkah kamu merasa panjang masa pemergianku menerima apa yang
dijanjikan itu? Atau kamu sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan
dari Tuhan kamu, lalu kamu menyalahi perjanjian kamu denganku?"
[87]
Mereka menjawab:
"Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kuasa dan ikhtiar
kami, tetapi kami telah dibebankan membawa barang-barang perhiasan orang-orang
(Mesir) itu, supaya kami mencampakkannya ke dalam api lalu kami melakukan yang
demikian, maka demikianlah juga "Samiri" mencampakkan apa yang
dibawanya.
[88]
"Kemudian
Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor
anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata: "Ini ialah
tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!"
[89]
Patutkah mereka
tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat
menjawab perkataan mereka, dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi
manfaat kepada mereka?
[90]
Dan demi
sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu:
"Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu, dan
sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu,
ikutlah daku dan taatlah akan perintahku".
[91]
Mereka menjawab:
"Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan)
kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami".
[92]
(Sekembalinya), Nabi
Musa berkata: "Wahai Harun, apakah maniknya yang menghalangmu ketika
engkau melihat mereka sesat,
[93]
"Daripada
menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?"
[94]
Nabi Harun menjawab:
"Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah
menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku:
` Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau
tidak berhati-hati mengambil berat pesananku! ' "
[95]
(Sesudah itu Nabi
Musa hadapkan kemarahannya kepada Samiri lalu) bertanya: "Apa pula halmu,
wahai Samiri?"
[96]
Ia menjawab:"
Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku
mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya;
dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku".
[97]
Nabi Musa berkata
kepada Samiri: "Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan
dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam
kehidupan dunia ini: ` Jangan sentuh daku ', dan sesungguhnya telah dijanjikan
lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas
daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama
menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur
dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.
[98]
"Sesungguhnya Tuhan
kamu hanya Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang meliputi
pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu".
[99]
Demikianlah Kami
ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), sebahagian dari kisah-kisah umat manusia
yang telah lalu; dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi
Kami (sebuah Kitab Al-Quran yang menjadi) peringatan.
[100]
Sesiapa yang
berpaling ingkar dari peringatan Al-Quran itu, maka sesungguhnya ia pada hari
kiamat menanggung beban (dosa) yang berat.
[101]
Mereka kekal di
dalam (azab) dosa itu; dan amatlah buruknya tanggungan itu bagi mereka pada
hari kiamat,
[102]
(Iaitu) hari ditiup
Sangkakala, dan Kami akan himpunkan pada hari itu orang-orang yang bersalah
dalam keadaan kelabu matanya.
[103]
Mereka
berbisik-bisik sesama sendiri: "Kamu telah tinggal hanya sepuluh
sahaja".
[104]
(Allah berfirman):
Kami lebih mengetahui akan kadar masa yang mereka katakan itu, manakala orang
yang lebih tepat pendapatnya di antara mereka berkata pula: "Tiadalah kamu
tinggal melainkan satu masa yang amat singkat".
[105]
Dan mereka (yang
kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) dari hal gunung-ganang; maka
jawablah: "Tuhanku akan menghancurkannya menjadi debu ditiup angin.
[106]
"
[107]
Engkau tidak akan
melihat pada tapaknya itu tempat yang rendah atau yang tinggi.
[108]
Pada hari itu mereka
menurut seruan panggilan yang menyeru mereka dengan tidak dapat melencong dari menurutnya;
dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya
sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.
[109]
Pada hari itu, tidak
berfaedah syafaat (dari dan kepada sesiapapun) kecuali dari orang yang diizinkan
oleh Allah yang melimpah-limpah rahmatNya, dan kepada orang yang diredai
perkataannya.
[110]
Allah mengetahui apa
yang di hadapan mereka (dari hal-hal dunia), dan apa yang di belakang mereka
(dari perkara akhirat); sedang mereka tidak mengetahuinya secara meliputi.
[111]
Dan segala muka akan
tunduk dengan berupa hina kepada Allah Yang Tetap Hidup, lagi Yang Kekal
Mentadbirkan makhluk selama-lamanya; dan sesungguhnya telah rugi dan hampalah
orang yang menanggung dosa kezaliman.
[112]
Dan sesiapa yang
mengerjakan sebarang apa dari amal-amal yang soleh, sedang ia beriman, maka
tidaklah (seharusnya) ia merasa takut dianiaya atau dikurangkan sedikitpun dari
pahalanya.
[113]
Dan demikianlah Kami
telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab, dan kami telah
terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat manusia
seluruhnya) bertaqwa, atau mereka mendapat daripadanya sesuatu peringatan dari
faedah mereka.
[114]
Maka Maha Tinggilah
Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan
janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai
dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: "Wahai
Tuhanku, tambahilah ilmuku".
[115]
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia
lupa; dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.
[116]
Dan (ingatkanlah
peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada
Adam", lalu mereka sujud, melainkan Iblis, ia enggan sujud.
[117]
Maka, Kami
berfirman: "Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi
isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga,
kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.
[118]
"Sesungguhnya telah
dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga
itu dan tidak akan bertelanjang.
[119]
"Dan
sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu, dan tidak akan
merasa panas matahari".
[120]
Setelah itu maka Syaitan
membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: "Wahai Adam, mahukah, aku
tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan
yang tidak akan hilang lenyap?"
[121]
Kemudian mereka
berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat
masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan
dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai
hajatnya).
[122]
Kemudian Tuhannya
memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima
taubatnya serta diberi petunjuk.
[123]
Allah berfirman:
"Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan
setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada
kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia
tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.
[124]
"Dan sesiapa
yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah
baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat
dalam keadaan buta".
[125]
Ia berkata:
"Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal
aku dahulu melihat?"
[126]
Allah berfirman:
"Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu,
lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari
ini dilupakan serta ditinggalkan".
[127]
Dan demikianlah Kami
membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat
keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan
lebih kekal.
[128]
Adakah tersembunyi
serta belum jelas lagi kepada mereka: berapa banyak Kami telah binasakan dari
kamu-kaum yang terdahulu daripada mereka, sedang mereka sekarang berulang-alik
melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya pada yang demikian
ada tanda-tanda (untuk mengambil iktibar) bagi orang-orang yang berakal
fikiran.
[129]
Dan jika tidaklah
kerana telah terdahulu Kalimah Tuhanmu (wahai Muhammad), dan satu tempoh yang
ditentukan nescaya balasan jenayah mereka sudah semestinya berlaku.
[130]
Oleh itu,
bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan
beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum
terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada
sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda (dengan mendapat sebaik-baik
balasan).
[131]
Dan janganlah engkau
menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami
berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang
merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya;
sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.
[132]
Dan perintahkanlah
keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun
bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah
yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi
orang-orang yang bertaqwa.
[133]
Dan mereka yang
kafir berkata: "Mengapa ia tidak membawa kepada kami satu tanda mukjizat
dari Tuhannya yang membuktikan kebenarannya?" Bukankah telah datang kepada
mereka berbagai-bagai keterangan dan khasnya Al-Quran yang menjadi kenyataan yang
menerangkan apa yang terkandung dalam Kitab-kitab yang dahulu?
[134]
Dan sekiranya Kami
binasakan mereka dengan sesuatu azab sebelum datangnya Rasul Kami membawa
Al-Quran ini, tentulah mereka akan berkata pada hari kiamat: "Wahai Tuhan
Kami! Mengapa Engkau tidak mengutuskan kepada kami seorang Rasul supaya kami
menurut ayat-ayat keteranganMu yang dibawanya, sebelum kami menjadi hina
(dengan azab di dunia), dan mendapat malu (dengan azab di akhirat)?"
[135]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Tiap-tiap seorang (di antara kita) sedang menunggu; maka
tunggulah kamu! Kemudian kamu akan mengetahui kelak siapakah orang-orang yang
berada atas jalan yang lurus, dan juga siapa yang mendapat petunjuk".